
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sejumlah peruntukan disalurkan kepada penerima yang layak dalam separuh kedua tahun ini.
Menurutnya, inisiatif tersebut wajar diteruskan pada tahun hadapan bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Ianya antara perkara yang dicadangkan dalam rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.
“Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas.
“Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua 2021.
“Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada 2022, bukan sahaja untuk B40 tetapi juga bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.
Beliau berkata, bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang Covid-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Turut hadir dalam perutusan khas itu Menteri Kanan termasuk Dato’ Sri Hishammuddin Hussein, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali, dan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Selain itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Saravanan Murugan, Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Dr Wee Ka Siong, Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah. – HARAKAHDAILY 13/8/2021











