
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, menolak dakwaan bahawa membuat laporan polis adalah cara untuk mengugut atau menakutkan mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial.
Pengarah Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ibrahim Ismail, berkata laporan polis juga bukan cara untuk melindungi hak seseorang, termasuk pemimpin negara dan negeri atau orang kenamaan lain.
Katanya, hak kebebasan bersuara di Malaysia dijamin mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap warga negara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, tetapi terdapat beberapa sekatan terhadap hak itu mengikut Perkara 10(2)(a) dan Perkara 10(4).
“Perlembagaan tidak memperincikan hak kebebasan bercakap dan bersuara, tetapi ia adalah dalam pelbagai bentuk seperti berpakaian, aksi, lukisan, mural dan ekspresif mengikut medium tertentu,” katanya di sini, hari ini.
Dalam media sosial, katanya perbuatan kecam badan (body shaming), menghina (denigration) dan mengganggu (harassment) adalah antara kesalahan yang paling kerap dilakukan.
Ibrahim berkata, pihak berkuasa sering menasihat masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik video yang mempunyai ucapan jelik, apatah lagi menghina.
“Mereka yang melakukan demikian apabila dihadapkan ke mahkamah akan diadili dengan mengambil kira kepada penderitaan, kesusahan dan kerosakan yang ditanggung oleh mangsa,” katanya mengulas kritikan pihak tertentu berikutan tangkapan beberapa individu bagi membantu siasatan polis berhubung penularan video yang dipercayai memfitnah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, melemparkan perkataan jelik kepada orang lain secara terbuka melanggar tatasusila masyarakat dan lebih serius jika perbuatan itu bermaksud untuk mengaibkan kehormatan seseorang.
Katanya, pemimpin politik juga tidak wajar menyokong sesiapa yang terlibat dalam perbuatan itu dan sepatutnya membantu menyekat budaya negatif itu sebelum menjadi barah dalam masyarakat.
“Pada masa sama, pihak berkuasa perlu bersikap telus dan menggunakan budi bicara ketika melakukan siasatan supaya keadilan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau juga menasihat masyarakat supaya mengambil pengajaran terhadap setiap tindakan yang diambil pihak berkuasa sebelum ini terhadap mereka yang terlibat, sekali gus dapat menangani amalan ucapan kebencian di negara ini. – HARAKAHDAILY 12/8/2021











