
KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah turun padang meninjau sendiri perkembangan projek naik taraf melebarkan pengairan sungai di Jengka 11, di sini tengah hari kelmarin.
Projek ini bertujuan mencegah kejadian banjir kilat yang biasanya berlaku pada setiap tahun sehingga menyebabkan penduduk berhampiran sungai berasa cemas dan ketakutan kerana harta benda mereka musnah dan tidak boleh diganti.
Pengurus Felda Jengka 11, Faizuri Zakaria menyatakan, kerja pembersihan dan melebarkan sungai itu telah dijalankan oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Daerah Maran sejak tiga hari sebelumnya dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu.
Beliau juga dalam pada itu menasihati peneroka agar tidak membuang pelepah sawit, kayu dan sampah ke dalam sungai tersebut bagi mengelakkan air tersekat dan seterusnya menyebabkan banjir berlaku.
Ustaz Shahril ketika meninjau projek naik taraf sungai tersebut berkata, kejadian banjir kilat yang sering berlaku terutama ketika musim hujan diharap dapat diatasi melalui usaha membersihkan sungai dan melebarkannya.
“Projek ini diharap mampu memberi kelegaan kepada penduduk yang berada berhampiran sungai ini. Saban tahun mereka berada dalam situasi cemas, bimbang banjir berlaku setiap kali hujan lebat turun.
“Sekiranya penduduk melihat berlakunya perbuatan membuang sampah di sekitar sungai dan membiarkan kayu dan pelepah sawit bersepah, peneroka bolehlah membuat aduan kepada pihak pengurus agar tindakan dapat diambil dengan cepat,” nasihat beliau
Shahril juga berharap penduduk Jengka 11 berusaha menjaga ladang agar sentiasa berada dalam keadaan bersih dan prihatin terhadap sesuatu perkara yang berlaku di sekitar mereka.
Turut bersama dalam tinjauan tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Krau, Kamaruzaman Usop. – HARAKAHDAILY 12/8/2021












