
KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyampaikan sumbangan dalam program Bantuan Prihatin Pahang 2021 di Sekolah Rendah Kebangsaan Jengka 22, di sini kelmarin.
Bantuan Prihatin sumbangan Kerajaan Negeri Pahang itu disampaikan secara pandu lalu untuk seramai 446 penerima dalam kalangan Murid Berkeperluan Khas (MBK) dari Daerah Maran dan Jengka.
Bantuan sama turut diberikan kepada seluruh penduduk terkesan dengan pandemik COVID-19, hilang pekerjaan, B40 dan juga keluarga yang direkodkan menghadapi kesulitan hidup ketika ini.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Mohd Saufi Abd Rashid berkata, kehadiran Ustaz Shahril tepat pada masanya di mana walaupun program dibuat di luar kawasan tetapi majoriti penerima bantuan terdiri daripada penduduk DUN Jengka.
Setiap keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas mendapat sumbangan sebanyak RM250 setiap seorang bagi membantu golongan ini meneruskan kehidupan menguruskan anak-anak syurga mereka.
Menurut Ustaz Shahril, anak-anak istimewa ini adalah anugerah dan amanah Allah kepada kedua ibu bapa dan ganjaran bagi ibu bapa yang redha dan bersabar menerima pemberian Allah ini sangat besar di sisi Allah.
“Anak OKU (Orang Kelainan Upaya) adalah anak istimewa yang merupakan anugerah Allah kepada ibu bapa terpilih.
“Pelbagai sikap aneh mungkin ditunjukkan mereka, namun apabila ibu bapa itu syukur, redha dan sabar dalam mendidik mereka, maka Allah akan membantu mereka. Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang-orang yang sabar,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di atas sumbangan yang diberikan dan berharap agar sumbangan itu dapat dimanfaatkan oleh waris dalam mendidik dan menjaga anak istimewa ini.
Turut hadir mewakili Menteri Besar adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pegawai PPD, Ahmad Nahran Ishak serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Haffizul Amri Hassan. – HARAKAHDAILY 9/8/2021












