Awasi media, pemimpin jadi boneka kuasa asing

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

TULISAN Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam Kolum Minda Presiden PAS, mengenai isu antarabangsa, iaitu pertembungan kuasa besar dan kesannya terhadap dunia, terutama Malaysia, lebih seminggu lalu, sepintas lalu kelihatan bersifat akademik.

Bagaimanapun tulisan itu sebenarnya bukan sekadar suatu kronologi sejarah dengan perkembangan bermula Perang Dunia Kedua hingga kini, tetapi suatu analisis yang mahu memberi peringatan kepada umat Islam supaya tidak leka dan mengulangi kesilapan lalu.

- Advertisement -

Ini yang dikatakan jangan melihat yang tersurat, tetapi mengambil iktibar terhadap perkara yang lebih besar dan penting, iaitu yang tersirat atau mesej yang hendak disampaikan.

Walaupun negara sudah menikmati kemerdekaan selama 64 tahun, Tuan Guru Abdul Hadi, mengingatkan umat Islam bahawa pertembungan kuasa besar dan campur tangan kuasa asing tidak pernah padam dengan menjadikan Iraq dan Afghanistan, dua buah negara Islam yang pernah diceroboh hingga keadaan negara menjadi kacau bilau.

Jika Portugis, Belanda dan Inggeris adalah antara kuasa besar pada zaman penjajahan, kini Inggeris masih bergelar kuasa besar, manakala Belanda dan Portugis sudah lama meninggalkan era kegemilangan jika diukur berdasarkan kekuatan ketenteraan.

Era moden, terutama selepas Perang Dunia Kedua lebih berpaksi kepada dua kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia (sebelum itu adalah Kesatuan Soviet). Mulai tahun 1990-an, China mulai bangkit sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan untuk muncul sebagai pencabar utama kepada AS.

Malaysia dan kebanyakan negara lain, kini tersepit akibat pertembungan dua kuasa besar itu yang kini menjadikan Laut Cina Selatan sebagai medan untuk menunjukkan kekuatan.

Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan bahawa AS dan negara sekutu, merancang strategi mencari negara lain untuk menjadi barisan hadapan pertahanan, sekali gus Malaysia yang terletak antara Laut China Selatan dan Selat Melaka bakal mengulangi senario Perang Dunia Kedua.

Matlamat sama, cuma kaedah berbeza untuk kuasa besar mencapai matlamat itu. Ini dilakukan dengan menyediakan kerajaan yang bersedia menjadi proksi kepada kuasa besar, sekali gus mendukung pemimpin dan parti politik yang bersedia menubuhkan kerajaan proksi itu.

Beliau berkata, cara halus yang digunakan termasuk menaja media tidak berakhlak yang diberi peranan untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak ada kepekaan politik yang sedar dan insaf. Media tersebut juga digunakan untuk melekakan rakyat supaya terlupa bakal menjadi sasaran dan mangsa korban percaturan politik kuasa besar.

“Rakyat wajib berwaspada terhadap para pemimpin dan parti politik yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan segala cara.

“Rakyat juga perlu sentiasa berwaspada terhadap bala tentera upahan, khususnya media tajaan pihak asing yang memainkan peranan dengan bayaran upah semahal-mahalnya bagi menjayakan agenda mewujudkan kerajaan proksi yang boleh digunakan tanpa peduli rakyat yang menjadi korban,” katanya.

Bagaimana penajaan ini dilakukan? Pelbagai cara boleh dilakukan termasuk pemberi dana asing berselindung atas nama untuk menyuburkan hak asasi manusia atau berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara, sedangkan sebenarnya mempunyai agenda untuk mengatur politik negara.

Lihat saja cara sesetengah pengendali portal berita yang lebih ghairah mencetuskan isu membabitkan soal kaum, agama dan sosial, atau mengadudombakan sesama pemimpin demi membentuk pola pemikiran pembaca yang sesuai dengan matlamat mereka.

Ini yang menyebabkan Tuan Guru Abdul Hadi menyuarakan kebimbangan bahawa serangan pemikiran melalui media upahan akan menghakis kesedaran politik rakyat apabila sekurang-kurangnya menjadikan orang tidak mempedulikan kepada politik kerana bosan dengannya hingga meninggalkan kewajipan mempertahankan kuasa yang menyelamatkan umat Islam selama ini.

“Bacalah media dengan penuh kesedaran dan bijak sehingga memahami segala yang tersirat, bukan sahaja yang tersurat,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam kini berada pada zaman fitnah yang banyak kebohongan mengelirukan dengan peranan media menjadi senjata perang yang meruntuhkan jati diri.

“Maka kenali media yang paling laris menjadi propaganda mereka, serta parti dan para pemimpin yang dipergunakannya. Jadilah umat dan negara yang berdaulat, bukan menjadi alat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -