
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Kontraktor dan pasukan teknikal Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) berusaha keras bagi memastikan kerja-kerja menukar paip di dasar Sungai Terengganu siap mengikut jadual ditetapkan.
Kesan kerosakan itu menyebabkan berlaku masalah bekalan air di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) melibatkan daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.
Masalah itu dikesan 2 Ogos lalu dijangka pulih sepenuhnya pada Isnin ini sekiranya tiada masalah luar jangka berlaku di dasar Sungai Terengganu.
Kejadian itu bermula selepas SATU mengesan kegagalan tangki utama loji di Bukit Berangan berada diparas tidak normal pada 2 Ogos lalu.
Kegagalan paip utama di dasar Sungai Terengganu dikesan yang melibatkan paip bersaiz 1200 mm, yang membekalkan air ke tangki tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, SATU melaksanakan pelan pembaikian segera setelah mengenal pasti kedudukan serta laluan paip bersaiz 1200 mm pada dasar sungai itu melalui tiga kali selaman.
“Berdasarkan kerosakan major di dasar sungai, pembaikian paip dijangka akan mengambil masa tujuh hari dengan jangka masa awal boleh siap pada 11 Ogos,” katanya di sini semalam.
Kerja-kerja kumpalan bagi memperkukuhkan struktur paip dilakukan, manakala kerja memasang clamp bersaiz 1600 mm serta membuat ‘Cement Grounding’ belum selesai.
Berdasar jadual pada 11 hingga 13 Ogos ini kerja-kerja kimpalan memperkukuhkan struktur paip giat dilakukan.
Berikutan itu pada 14 Ogos jam 12.01 minit pagi bekalan air ke sistem agihan akan pulih secara berperingkat-peringkat.
Dr Mamad berkata pada 16 Ogos sistem agihan dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat dengan mengambil kira kerja-kerja di luar jangkaan.
Menurutnya juga arus di dasar sungai yang deras beberapa menjejaskan penglihatan dan wujudnya pengcahayaan yang terhad.
Kerosakan paip tersebut menjejaskan bekalan air di Dun Tepoh, Buluh Gading, Bukit Tunggal dan Seberang Takir serta Dun Batu Rakit (Setiu). – HARAKAHDAY 12/8/2021











