
Oleh YUSMAN AWANG
SIKAP tidak sabar, dan lebih terarah kepada memuaskan nafsu politik dalam memburu kuasa dan kedudukan kini telah mencetuskan kemunculan golongan pemimpin di negara ini yang sanggup menolak ke tepi masalah dan penderitaan dialami rakyat impak pandemik Covid-19.
Bak peribahasa Melayu, ‘menangguk di air keruh’, golongan pemimpin tersebut dilihat cuba mengambil kesempatan daripada kesukaran yang dialami rakyat dan cabaran dihadapi kerajaan ketika ini dalam memerangi Covid-19, dengan mencetuskan siri provokasi bermatlamat mengganggu gugat kestabilan kerajaan demi berebut kuasa.
Dakyah dan tohmahan bahawa kerajaan gagal menangani pendemik Covid-19 dijadikan senjata utama mereka.
Sedangkan mereka memejamkan mata terhadap pelbagai usaha, langkah dan pendekatan positif kerajaan, khususnya dalam memulihkan tahap keselamatan rakyat dari segi kesihatan dan kesejahteraan ekonomi yang terkesan ekoran serangan virus maut Covid-19.
Fokus mereka hanya kerajaan Malaysia yang ditohmah gagal, sedangkan pada masa yang sama seluruh dunia sedang berdepan dengan serangan Covid-19, malah di sesetengah negara, situasi pandemik virus tersebut lebih serius berbanding negara ini.
Tindakan golongan tersebut sejak akhir-akhir ini juga seolah-olah seperti membelakangi kedudukan dan peranan Raja sebagai ketua negara, ketua negeri dan ketua agama Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara masyarakat majmuk dengan kerangka sistem pemerintahan negara yang menggabungkan dua sistem utama iaitu Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, sudah termaktub peranan Raja dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat walaupun terdapat perbezaan agama, kaum serta fahaman politik.
Ia termaktub dalam Rukun Negara yang meletakkan unsur Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara untuk dipertahankan disebabkan kepentingannya sebagai panduan hidup rakyat untuk mendukung perlembagaan negara.
Justeru, disebabkan sentimen terhadap kerajaan yang dicetuskan golongan pemimpin tersebut semakin menular dan serius sehingga boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat, menyebabkan peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja sebagai pelengkap serta semak dan imbang kepada sistem pemerintahan demokrasi, semakin jelas dan terbukti menjadi asas kepada kestabilan politik Malaysia.
Tepat sekali detik waktunya apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam telah menzahirkan kekecewaan baginda terhadap golongan pemimpin yang disifatkan sebagai telah mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa, ketika rakyat sedang diamuk serangan Covid-19 yang semakin membimbangkan ini.
Benar sebagaimana titah baginda, semua pemimpin politik di negara ini perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.
Inilah masanya semua pemimpin perlu bersatu padu tanpa mengira warna kulit mahupun fahaman politik untuk memenangi perang melawan Covid-19 dan bukan masa untuk berebut kuasa, sebagaimana dititahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pernah bertitah agar pemimpin politik jangan pentingkan diri sendiri tetapi sebaliknya perlu menggembleng tenaga dan fokus kepada usaha bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan negara sedang berdepan dengan Covid-19 ketika ini.
Senada dengan titah Raja-raja dan Pemangku Raja berkenaan, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeneri Amir ketika dihubungi Harakahdaily berkata, dalam keadaan negara sedang bergolak dengan serangan Covid-19 ketika ini, para pemimpin seharusnya mengekang ketaksuban atau kegilaan masing-masing dalam merebut jawatan dalam politik.
“Sebaliknya, mereka perlu memperagakan watak keunggulan sebagai pemimpin politik untuk meletakkan rakyat dan negara di atas daripada kepentingan peribadi, puak dan ideologi kepartian,” ujarnya.
Pemimpin politik menurut Dr Jeneri lagi, tidak harus terjerumus dalam kancah perebutan kuasa untuk menggulingkan kerajaan ketika ini.
“Kearifan dan kebijaksanaan pemimpin sedang diuji bagaimana untuk menangani keadaan ketika rakyat dan negara berdepan dengan ujian besar ketika ini. Jadi, kepada semua pemimpin politik di negara ini, saya sarankan agar akur dengan titah Raja-raja.
“Jangan menambahkan lagi kekalutan yang dialami negara ketika ini semata-mata untuk memuaskan nafsu politik masing-masing,” tegasnya.
Sementara penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff turut menyeru semua pemimpin politik di negara ini agar tidak mencetuskan percubaan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada atau menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan keadaan politik negara menjadi tidak stabil.
“Buat masa ini, kita perlukan kerajaan yang stabil untuk memerangi dan seterusnya mengalahkan serangan pandemik Covid-19,” tegasnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, semua pemimpin politik perlu mengutamakan rakyat terlebih dahulu buat masa ini berbanding kuasa dan kedudukan dalam politik negara.
“Perdana Menteri sudah menjelaskan selepas imuniti kelompok dicapai dari segi pemberian vaksin kepada rakyat, pembubaran Parlimen bakal diadakan menjelang Oktober nanti. Dua bulan sahaja lagi, mohon bersabar demi rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2021











