Perlu patuh SOP syarat beralih ke Fasa 3 PPN

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Sekiranya rakyat Kelantan memberi sokongan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 boleh menjadi kenyataan.

Bagaimanapun Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, dalam situasi sekarang agak sukar berikutan peningkatan kes harian Covid-19 di negeri itu.

“Harapan ada untuk beralih ke fasa 3 PPN, namun semua pihak mesti memberikan kerjasama penuh untuk mencapai hasrat itu.

- Advertisement -

“Walaupun ada dalam kalangan kita yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, namun SOP mesti dipatuhi,” katanya kepada media semasa melakukan tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Morak di sini semalam.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan berupa makanan basah kepada penduduk di lokasi PKPD berkenaan.

Semalam Kelantan mencatat kes harian Covid-19 lebih 900, malah pada Rabu minggu lepas kes baru dicatatkan 1003. Sedangkan sebelum Hari Raya Aidiladha kes harian dicatat sekitar 100.

Menteri Besar turut mengingatkan supaya semua pihak berhati-hati apabila terdapat varian baru di negeri itu yang lebih bahaya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan penduduk yang dikenakan PKPD itu supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Antaranya cuba lari dan memotong kawat duri untuk seberang ke kampung atau daerah lain. Tindakan itu mengundang bahaya kerana kita yang tidak menyedari Covid-19 ada pada kita sehingga merebak pula ke tempat lain.

“Penduduk di kawasan yang terbabit tidak perlu bimbang, bekalan makanan akan disediakan kepada semua penduduk terlibat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2021

- Advertisement -