
ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Kerajaan meluluskan peruntukan segera lebih RM60,000 untuk membantu 140 mangsa ribut membabitkan lebih 14 kampung di Dun Semerak dalam dua kejadian yang berlaku secara berasingan pada akhir bulan lepas.
Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, daripada jumlah itu kerajaan pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM300 manakala kerajaan negeri RM200 kepada setiap mangsa di mana sebahagian besar mereka dalam kalangan petani dan pekebun kecil.
“Bantuan itu bagi meringankan beban mereka dalam situasi sukar sekarang dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama untuk membeli bekalan makanan harian,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di rumah-rumah yang siap dibaik pulih di DUN itu hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang 23 dan 27 Julai lepas banyak rumah musnah terutama bumbung diterbangkan angin sejauh lebih 10 meter dari tempat asal.
Antara kampung terbabit termasuk Sungai Petai, Gong Chokoh, Gong Kala, Gong Keding, Gong Kedak, Tebing Tinggi, Gajah Mati, Gong Depu, Gong Kulim, Pulau Lima, Gong Pachat, Gong Kubur, Gong Sepulih dan Gong Kala.
Wan Hassan berkata, dalam kejadian yang berlaku pada waktu Asar itu empat rumah mengalami kerosakan sehingga melebihi 50 peratus manakala yang lain mengalami kurang 30 peratus.
Beliau berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh sudah menghantar laporan lengkap mengenai kerosakan dan jumlah bantuan yang diperlukan kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, seorang mangsa Maznah Sidek Ahmad, 63, dari Kampung Gong Sepulih berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila banyak atap rumahnya diterbang angin menyebabkan beliau terpaksa menumpang di rumah keluarga beberapa hari.
Maznah yang juga seorang ibu tunggal berkata, ketika kejadian itu berlaku beliau tiada di rumah dan terkejut sebaik pulang mendapati hampir lebih separuh bumbung rumahnya diterbang angin.
Imam Mukim Gong Chengal, Zulkifli Mat Daud, 53, berkata, lebih 30 rumah di kawasan mukim itu mengalami kerosakan dan sebahagian besar rumah berkenaan sudah dibaik pulih secara gotong-royong hasil kerjasama penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 7/8/2021











