
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Perlis memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Rabu lepas bagi membolehkan lebih banyak lagi aktiviti sosial dan ekonomi dibuka.
Dua lagi negeri yang memasuki fasa ketiga termasuk Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, mengambil kira kelulusan itu pihaknya bersetuju membenarkan semula pelaksanaan aktiviti solat berjemaah dan kuliah agama semua premis PAS selepas Perlis beralih ke fasa tiga PPN.
Katanya ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang berkuatkuasa di negeri itu.
“Kami berharap dengan kebenaran yang diberi tersebut dapat menyemarakkan kembali aktiviti-aktiviti di semua premis PAS di Perlis.
“Untuk aktiviti kuliah agama hanya kuliah Maghrib sahaja yang diberi kebenaran dilaksanakan buat masa ini dengan pematuhan SOP ketat seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter.
“Selain itu semua ahli jemaah hendaklah terus beredar sebaik sahaja selesai melaksanakan solat atau kuliah agama,” katanya di sini hari ini.
Oleh itu kata beliau pihak pengurusan markas akan memastikan ahli jemaah yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Bagaimanapun menurutnya sebarang jamuan belum lagi dibenarkan kecuali dibuat secara edaran sahaja. – HARAKAHDAILY 6/8/2021











