
Oleh SAIDAH HAIRAN
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menjunjung kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di atas keprihatinan baginda berkenaan peningkatan kes rasuah dan kelewatan pendakwaan kes disebabkan penangguhan yang tidak mempunyai alasan yang kukuh.
Ahmad Yunus mengakui rasuah adalah amalan yang dilarang dalam Islam.
Menurutnya, titah baginda akan menjadi asas kesungguhan negeri Selangor dalam membanteras amalan rasuah yang berlaku di negeri itu.
“Saya berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu sama ada orang politik atau penjawat awat yang terlibat dengan rasuah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Adun Sijangkang berkata tidak ada kompromi dalam menangani isu rasuah.
Katanya, banyak prosedur terutamanya perolehan kerajaan yang harus diperbaiki agar tidak mendedahkan sesiapapun kepada amalan rasuah terutamanya penjawat awam dan ahli politik.
Beliau berkata, keprihatinan baginda terhadap gejala rasuah diharap dapat menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang berintegriti dan contoh terbaik kepada negeri-negeri lain.
Katanya, integriti adalah teras kemajuan sesebuah negara, sama ada gejala rasuah atau salah guna kuasa sekiranya tidak ditangani dengan baik tentunya negara akan hancur.
“Tidak perlu untuk kita ungkit amalan rasuah yang pernah berlaku di negeri Selangor, yang penting sejauh mana kes rasuah ini dapat dibanteras dan menjadi pengajaran,” katanya.
Pada 2 Ogos lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Pada pertemuan itu, baginda diberi taklimat mengenai peningkatan yang tinggi membabitkan kes-kes rasuah khususnya di negeri itu.
Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu itu dan berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah. – HARAKAHDAILY 6/8/2021











