
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Semua tanah perkuburan di daerah Kuala Muda dan Kota Setar akan dijadikan lokasi pengebumian jenazah mangsa Covid-19.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco dan perlu diterima oleh semua ahli kariah.
Menurutnya arahan itu akan melibatkan 75 kariah di daerah Kuala Muda dan dipilih secara bergilir-gilir mengikut hari.
“Prosedur operasi standard (SOP) menguruskan jenazah mangsa Covid-19 antara lapan hingga 12 jam, namun kadang-kadang mengambil masa sehingga 20 jam.
“Dalam masa yang sama kapasiti pegawai yang menguruskannya agak terhad. Setiap pengkebumian mangsa Covid perlu dihadiri Inspektor Kesihatan,” katanya pada sidang media secara di atas talian semalam.
Difahamkan di daerah Kuala Muda hanya terdapat tiga Inspektor Kesihatan.
Oleh itu kata Menteri Besar ketetapan sedemikian diambil untuk mempercepatkan urusan pengkebumian sebagaimana dikehendaki syarak.
Sebelum ini petugas dan Inspektor Kesihatan terpaksa bergerak jauh mengikut permintaan pihak waris si mati sehingga mengambil masa dan menyebabkan pengurusan jenazah lain tertangguh.
“Keputusan ini perlu diterima oleh waris dan 75 kariah terbabit. Tidak boleh tolak, kena bagi kerjasama,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 5/8/2021











