Perlu bersatu tangani Covid-19

- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

IPOH: Kesatuan semua pihak untuk fokus kaedah menangani krisis akibat pandemik Covid-19 harus menjadi keutamaan, kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Ab Samad.

Hal demikian kerana, sekiranya usaha kerajaan tidak disambut baik, maka tentunya lebih panjang tempoh rakyat Malaysia perlu berhadapan dengan krisis itu yang turut memberi impak kepada ekonomi negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam tempoh rakyat Malaysia diperintahkan berkurung dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai di antara mereka yang terkesan serta terpaksa menanggung pelbagai beban.

“Di luar sana, keluarga yang saling merindui akibat sudah lama tidak bertemu. (Ada) pelajar-pelajar yang merindui guru, (ada) mahasiswa yang rindukan suasana universiti. Masing-masing melakukan pengorbanan terbesar sejak PKP.

“Ada pemimpin (pembangkang) seolah-olah tidak fikir perkara itu. Langsung tidak mempunyai rasa bersalah dengan mengadakan perhimpunan yang jelasnya melanggar SOP demi untuk merebut kuasa.

“Jika begini sikap pemimpin, maka tidak layak undi rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mereka. Rakyat Malaysia bijak,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily, hari ini.

Terangnya lagi, sikap mementingkan kepentingan peribadi untuk merebut kuasa pemerintahan di saat negara tenat menghadapi krisis kesihatan ini amat jelas tidak dapat diterima akal.

Oleh itu, serunya agar seluruh pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang agar mencapai titik persamaan dan berganding bahu menyelesaikan krisis yang melanda negara kita hari. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -