
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjaya dicapai sekiranya momentum bilangan kes Covid-19 dapat diturunkan selain kadar pemberian vaksin mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan.
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, natijah daripada kejayaan pemulihan adalah nyawa dan kesihatan rakyat serta kelonggaran dapat diberi secara bertahap dengan rakyat lebih bebas bergerak menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial.
“Keadaan kehidupan lebih baik, ekonomi meningkat, pengangguran berkurangan, persekolahan dan pendidikan boleh kembali seperti sedia kala. Ini yang rakyat mahu dan cuba diikhtiarkan oleh kerajaan.
“Pada saat ini, kita di kemuncak kesusahan, kes sangat tinggi, nak cari rezeki tersekat, serba serbi terhalang, kerja hilang. Ini saat semua orang susah, marah, tak puas hati dan mudah dihasut dan dipengaruhi untuk membenci kerajaan yang ada,” katanya.
Namun begitu, katanya, Pelan Pemulihan Negara melalui strategi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatakan (PKPD) dan paling utama usaha memberikan vaksinasi sangat berasas dan menunjukkan tanda boleh berjaya.
“Kerajaan tidak biarkan rakyat tanpa bantuan. Untuk itu lebih RM300 billion dibelanjakan demi meringankan dan membantu rakyat.
“Di Labuan yang pernah berdepan situasi sangat teruk, dengan kejayaan vaksinasi, kes turun mendadak, hospital kini sudah lega. Vaksinasi yg tinggi di Sarawak juga telah menurunkan kes dan kesesakan di hospital dengan begitu jelas,” katanya menerusi laman Facebook beliau.
Mengulas lanjut katanya, keadaan ini adalah sama yang telah dan sedang berlaku di Eropah di mana peningkatan vaksinasi disusuli dengan penurunan kes yang sangat jelas serta kemasukan ke hospital juga semakin menurun.
Malah bukan itu sahaja, katanya dengan kebebasan ekonomi dan sosial diberikan secara bertahap ia memberikan kegembiraan kepada rakyat apabila itu berlaku.
“Boleh ke stadium tengok bola, boleh mencari rezeki dan bersosial. Perniagaan kembali pulih.
“Rakyat yang marah kerana tertekan, yang dulu benci kepada kerajaan, kini memuji dan bangga dengan kejayaan mereka. Pembangkang tidak lagi boleh menghasut rakyat bila itu berlaku.
“Vaksinasi di Lembah Klang sudah mencapai lebih 90 peratus populasi telah menerima sekurangnya satu dos dan akan menerima dua dos lengkap dalam kadar yang pantas, Insya-Allah keadaan di Lembah Klang boleh pulih tidak lama lagi,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, katanya jika pematuhan SOP dan tiada peningkatkan penularan Covid-19 perkara ini akan selari seperti yang dirancang.
Sementara itu katanya, setakat hari ini kadar vaksinasi di Malaysia antara yang paling tinggi perkapita di dunia.
“Angka kes positif yang ditunjukkan setiap hari sekalipun meningkat menunjukkan peratusan kategori empat dan lima kurang daripada dua peratus. Manakala 98 peratus lagi tanpa gejala atau gejala ringan yang tidak mengancam nyawa atau perlukan kemasukan ke hospital.
“Jika segalanya berjalan baik, rakyat akan mula merasa lebih gembira mulai September, Oktober dan seterusnya. Hari ini memanglah semua marah. Saat dan peluang yang sedang cuba dipergunakan oleh pembangkang.
“Mereka takut berdepan September, Oktober dan seterusnya bila kes sudah turun, ekonomi semakin baik, rakyat semakin gembira. Kerana baju hitam mereka akan benar-benar detik hitam untuk mereka ketika itu,” katanya.
Dalam hantaran semalam, beliau berkata kerajaan akan terus fokus menjayakan PPN dengan tiga indikator perlu dijayakan.
“Setakat data yang ada, operasi meningkatkan peratus populasi divaksinkan secara jelas diikuti dengan penurunan dalam bilangan kes baru dan kadar kemasukan ke hospital oleh Covid-19 apabila angka divaksinkan cukup tinggi,” jelasnya.
Ini, ujar beliau jelas dapat dilihat di Labuan dan Sarawak.
Menurutnya, sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menyegerakan pemulihan di Lembah Klang dengan menyegerakan herd immunity melalui peningkatan berlipat ganda bekalan dan suntikan vaksin di Kuala Lumpur dan Selangor, beliau merasa sangat kecewa dengan himpunan tersebut. – HARAKAHDAILY 2/8/2021











