MAFI ambil inisiatif atasi lambakan durian

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah lambakan durian dengan menghasilkan aneka produk makanan berasaskan ‘raja buah’ itu.

Selain MAFI juga membantu golongan peniaga dan pengusaha kebun memasarkan durian.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebanyak 100 sehingga 150 tan metrik durian dijangka diguna untuk menghasilkan produk seperti pes, kek, tempoyak dan ‘lepuk’ durian.

Katanya, inisiatif itu diambil hasil kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan membeli serta mengumpulkan durian seluruh negeri untuk ditempatkan di Pusat Operasi FAMA di Machang.

“Pusat tersebut sudah beroperasi dan dijangka 100 hingga 150 metrik tan durian diproses menjadi kek, pes, tempoyak dan lembuk, selain memasarkan buah-buahan tersebut ke Lembah Klang.

“Kadar harga bagi durian biasa (kampung) juga pada masa ini ditetapkan RM2 sekilogram dan di Kelantan berlaku lambakan kira-kira 26 metrik tan pada minggu lepas.

“Kita jangka musim durian tidak panjang dan harga tidak turun terlalu rendah,” katanya kepada pemberita selepas melawat kebun timun hijau di Kampung Pulai, Chicha Tinggi, di sini hari ini.

Turut hadir sama, Penasihat Komplek Lembaga Pasaran FAMA, Mohd Ariffin Awang.

Justeru katanya, MAFI terus komited membantu pengusaha dengan pelbagai solusi untuk meningkatkan hasil jualan mereka biar pun negara ketika ini berhadapan dengan pendemik Covid-19.

Menurutnya juga MAFI melalui FAMA sentiasa membantu petani yang mengalami masalah memasarkan hasil pertanian dengan membuat pengaturan pasaran bersama pihak ketiga melalui Pusat Operasi FAMA.

Katanya, hampir 11,000 tan metrik hasil pertanian dibantu FAMA melibatkan nilai khidmat pemasaran sebanyak RM38.22 juta di seluruh negara dalam tempoh dua sejak Mei hingga Julai lepas.

Manakala bagi Kelantan hampir 2,500 tan metrik dibantu dalam khidmat pemasaran FAMA melibatkan nilai sebanyak RM2.4 juta.

“Semua hasil pertanian ini juga dipasarkan oleh FAMA dan akan dibawa ke kawasan yang memerlukan seperti digunakan sebagai produk sumbangan dalam program MAFI Prihatin.

“Program MAFI Prihatin merupakan inisiatif serampang dua mata dimana dapat membantu petani memasarkan lebihan hasilan pertanian mereka dan dalam masa yang sama dapat membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -