
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Melahirkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan melalui sebarang perhimpunan awam ketika negara berdepan pandemik Covid-19 bukanlah suatu tindakan yang bijak, malah tidak ‘membekas’.
Memanfaatkan platform media sosial dengan sebaik-baiknya merupakan saluran yang lebih efektif bagi menyatakan perasaan atau pandangan kepada kerajaan melalui kaedah yang berhikmah dan lebih terpelajar.
Antaranya melalui kempen atau tulisan dan juga seruan melalui penggunaan media sosial, kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar.
Beliau turut berpendapat bahawa sebarang bantahan juga boleh dilakukan secara maya melalui petisyen dan forum atau penganjuran webinar yang bersesuaian.
“Adalah sangat tidak wajar para pemuda kita turun ke jalanan di musim pandemik ini, dengan Kuala Lumpur sendiri mencatat kes sangat tinggi.
“Suara-suara yang dibawa seperti saya katakan tadi, boleh disalurkan di banyak saluran lain lagi, yang ternyata jauh lebih berkesan.
“Turun ke jalan raya tidak begitu membekas, hanya membawa kesan jangka pendek sahaja,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.
Menurut Wan Rohila, himpunan ini diadakan bagi meluahkan ketidakpuashatian terhadap kerajaan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
“Adalah tidak adil utk meletakkan kenaikan kes Covid-19 yang menakutkan kepada bahu kerajaan sahaja, kerana terdapat banyak faktor-faktor lain,” ujar beliau.
Di samping itu, menyentuh berkaitan penganjur perhimpunan tersebut, beliau berpandangan, sekiranya blok pembangkang merupakan ‘orang kuat’ disebalik penganjuran tersebut, ianya sangat mendukacitakan dan memberi imej buruk terhadap parti berkenaan.
“Saya tidak pasti siapa penganjur himpunan hitam ini, kerana jika ianya adalah anjuran pembangkang, saya terkejut kerana mudahnya mereka beroleh permit polis.
“Namun, jika ianya adalah anjuran pembangkang, mereka telah tersilap langkah kerana himpunan ini secara umumnya di cemuh rakyat, dan menerima kecaman hebat di media sosial.
“Pembangkang sebenarnya sudah beroleh merit yang besar di mata rakyat ekoran dari perbahasan di Parlimen, namun dengan bersetuju terhadap perhimpunan ini, merit tersebut kembali merosot.
“Mereka dilihat benar-benar terdesak untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, dan kembali berkuasa.
“Teman-teman frontliners juga sangat marah, dan ini sangat tidak bagus untuk penjenamaan semula barisan pembangkang,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2021











