Covid-19: Program Bantuan MAIK 2021 berjumlah RM15.6 juta

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meneruskan bantuan membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 melalui peruntukan berjumlah RM15.6 juta menerusi Program Bantuan MAIK 2021.

Menurut Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia diagihkan menerusi tiga pakej yang diperkenalkan iaitu Bantuan Prihatin MAIK, Perangsang MAIK dan Projek Pemangkin Kontraktor Kecil.

- Advertisement -

Katanya, bantuan Prihatin MAIK diperuntukkan sejumlah RM6.1 juta, dengan mensasarkan penerima dalam kalangan ibu tunggal, pesakit kronik atau terlantar serta mereka yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Jelasnya, bantuan itu dijangka dapat memanfaatkan 30,500 orang penerima melibatkan orang Islam serta bukan Islam termasuk kategori B40 dan M40 yang terkesan.

“Bantuan ini dalam bentuk barangan keperluan dan wang tunai. Penerimaan dan penyaluran peruntukan ini akan diuruskan melalui ketua jajahan dengan kerjasama imam-imam masjid bandar dan mukim.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, Bantuan Perangsang MAIK membabitkan peruntukan berjumlah RM5.5 juta yang difokuskan kepada penggiat ekonomi.

Katanya, penggiat ekonomi itu merangkumi penjaja (pasar awam, pasar borong dan pasar malam), peniaga kecil (warung dan gerai tepi jalan), pengusaha teksi, beca, e-hailing, bas dan van sekolah.

“Selain itu, golongan petani, peladang kecil serta nelayan akan turut menerima bantuan ini. Bagi Projek Pemangkin Kontraktor Kecil kita peruntukkan bantuan berjumlah RM3 juta.

“Bantuan ini kita fokuskan bagi membantu kontraktor Kelas G-1 yang berdaftar dengan MAIK. Peruntukan ini diperincikan melalui projek kerja-kerja membaiki, membaik pulih rumah asnaf MAIK berjumlah RM1 juta yang akan memanfaatkan sekurang- kurangnya 100 buah rumah asnaf,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, sementara kerja-kerja pembaikian kecil dan pembekalan keperluan asas surau serta madrasah yang bernilai RM2 juta itu dijangka memberi impak kepada 150 orang kontraktor.

Beliau berkata, bantuan serampang dua mata ini juga bermatlamat untuk memastikan rumah-rumah asnaf, surau dan madrasah berada dalam keadaan selesa dan selamat untuk digunakan, di samping membantu kontraktor-kontraktor kecil ‘bernafas’ setelah melalui suram yang panjang.

Katanya, MAIK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan Malaysia, agensi-agensi awam dan swasta serta individu yang saban tahun terus memberikan kepercayaan kepada pihaknya sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi menguruskan program-program bantuan di Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/8/2021

- Advertisement -