YADIM sedia ‘Hotline Tele Bantuan’

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyediakan kaedah permohonan bantuan yang lebih mudah, cepat dan mesra pengguna menerusi Talian Hotline Tele Bantuan YADIM.

Penolong Pengarah YADIM Perlis, Zuhri Husin berkata, orang ramai yang ingin memohon bantuan boleh menghantar butiran diri menerusi panggilan telefon atau pesanan ringkas kepada pihaknya.

- Advertisement -

Katanya YADIM menyediakan Tele Bantuan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan dan mereka boleh berhubung melalui aplikasi WhatsApp, www.wasap.my/60132920214/Bantuanyadim.

“Setakat ini kita menggerakkan sukarelawan dan rakan siswa untuk menjayakan program tersebut,” katanya selepas majlis penyerahan pek makanan asas di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) hari ini.

Turut hadir pada program berkenaan Pesuruhjaya PAS Negeri Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perlis, Baharudin Ahmad.

Menurutnya juga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), YADIM menyediakan 5,000 pek sumbangan untuk diedarkan kepada penduduk yang terjejas di seluruh Perlis.

Manakala untuk hari ini kata beliau pihaknya menyampaikan 100 pek sumbangan untuk diedarkan ke kawasan Kangar, Padang Besar dan Arau.

Menurut beliau, program seumpama itu memberi tumpuan kepada masyarakat yang memerlukan terdiri daripada asnaf terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Ada dalam kalangan mereka yang tidak bekerja, terpaksa berhenti kerja, jadi kita sampaikan untuk kita bersama merasai kesusahan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -