Program korban di Sabah bantu penduduk terjejas

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Ibadah korban adalah program tahunan yang diadakan oleh PAS Kota Kinabalu bersama anggota masyarakat setempat setiap kali Aidiladha.

Bagi tahun ini, program sembelihan lembu dan agihan daging dilaksanakan dengan kerjasama penduduk Kampung Rampaian, di sini, semalam.

Ketua Urusan Ulamak PAS Kota Kinabalu, Zunnur Aslam Zainondin memberitahu program itu memberikan peringatan berkaitan peristiwa bersejarah Islam iaitu kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

- Advertisement -

“Walaupun kita hanya menumbangkan seekor lembu, tapi ia juga mampu untuk kita membantu saudara dan sahabat kita yang terjejas dari sudut ekonomi di kawasan berdekatan,” katanya.

Pengerusi Surau Nurhidayah Taman Keramat, Haji Ishak Yunus yang mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada PAS dan penyumbang di kawasan komuniti mereka.

“Program yang baik sebegini perlu dilaksanakan setiap tahun agar saudara seagama kita dapat merasai bersama nikmat daging korban sebegini,” ujarnya.

Hadir dalam program itu adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Kinabalu, Siddiq Bakri serta beberapa orang lagi ahli jawatankuasa PAS kawasan, pemuda dan muslimat.

Di SEMPORNA, buat pertama kalinya, PAS Kawasan Semporna menganjurkan program korban amal dengan kerjasama masjid dan penduduk Kampung Sungai Tuhok.

Selain mengagihkan daging korban kepada penduduk setempat, program itu juga bertujuan untuk memberi ingatan kepada semua tentang peristiwa korban antara Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Sedikit tazkirah pendek disampaikan oleh pengarah program, Safwan Adam kepada para petugas berkaitan peristiwa yang penuh bersejarah dalam Islam itu.

“Program korban yang biasanya dilakukan pada Aidiladha ini bertujuan untuk kita memperingati semula kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenuhi serta mentaati perintah Allah SWT,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam konteks kehidupan hari ini, pengorbanan adalah tentang bagaimana umat Islam bersabar dan reda mengharungi cabaran yang cukup besar ketika dunia semua manusia diuji dengan wabak Covid-19.

Imam Kariah Masjid Sungai Tuhok, Haji Abdul Jamel Abdul Maana mengucapkan jutaan terima kasih atas program yang cukup bermakna di kampung mereka dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada tahun mendatang.

Program yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Semporna, Muhammad Huzaini Rohani itu telah mengagihkan sebanyak 118 bungkus daging kepada golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim serta penduduk Kampung Sungai Tuhok.

Di BATU SAPI pula, Program Berkat Aidiladha yang merupakan aktiviti tahunan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Batu Sapi selesai diadakan di beberapa cawangan.

Program kebajikan yang mengagihkan daging korban diadakan di Kampung Bokara, Kampung Bukit Nanas, Taman Pohing serta tujuh lagi lokaliti lain bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang kurang berkemampuan.

Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Norsah Bongsu menyatakan bahawa program itu juga merupakan salah satu agenda dalam projek fasa tiga bagi Tabung Bantuan Covid-19 yang digerakkan serentak oleh PAS di seluruh Malaysia.

“Wabak pandemik Covid-19 ini mengingatkan kita tentang besarnya nilai nikmat kebebasan mencari rezeki yang Allah tarik dari kita sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” ujar Norsah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah.

Tambahnya lagi, semua anggota masyarakat perlu sentiasa menunjukkan rasa syukur dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah sebagai mengingati peristiwa korban yang melambangkan syiar peringatan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Dewan Pemuda PAS Batu Sapi, Masru Mustaqeem yang turut bersama dalam program itu menyatakan rasa gembira atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk menguruskan 12 ekor lembu dan kerbau serta tujuh ekor kambing.

“Program sebegini bukanlah kali pertama diadakan oleh PAS Batu Sapi malah ia sudah menjadi program rutin setiap tahun bagi kami semua di sini,” jelas Masru.

Turut hadir adalah Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Ahmad Naufal dan Ketua LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Nur Izatti Yusof. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -