
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Negeri-negeri Pantai Timur diyakini akan mencapai herd immunity (imuniti kelompok) selewat-lewatnya bulan Oktober ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu dibuat sebagai persiapan negeri-negeri berkenaan menghadapi musim tengkujuh.
Menurutnya, perbincangan pernah diadakan ketika lawatan ketiga-tiga negeri itu agar disegerakan mencapai 80 peratus imuniti kelompok.
“Untuk negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang memang perbincangan telah dibuat supaya kita boleh capai ‘herd immunity’ paling lewat bulan Oktober ini.
“Sebab, kita menjangkakan apabila berdepan dengan musim tengkujuh. Pertama, pusat-pusat vaksinasi (PPV) akan terganggu. Kedua, kita bimbang apabila dibuka pusat-pusat pemindahan banjir itu susah untuk kita jaga SOP (prosedur operasi standard).
“Kita tidak mahu ada kluster-kluster daripada pusat-pusat pemindahan banjir. Oleh kerana itu, kita segerakan ‘herd immunity’ di negeri Pantai Timur yang akan berdepan dengan musim tengkujuh mulai November nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Program Pelancaran Agihan Bantuan Bakul Makanan PEMULIH di Perumahan Flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai di sini, semalam.
Turut serta pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.
Sehubungan itu, kata Amzad bahawa bekalan vaksin tidak ada masalah sepanjang Julai dan Ogos ini.
“Sebab, keseluruhan vaksin Sinovac akan diselesaikan kesemua penghantaran sebanyak 12 juta dos sebelum penghujung bulan Julai ini.
“Bermula bulan Ogos pula, kita banyak menerima Pfizer. Kita ada lebih kurang 45.7 juta dos Pfizer-BioNTech yang akan kita terima sehingga program ini selesai.
“Insya-Allah, untuk bulan ini sahaja kita ada 16 juta dos vaksin. Jadi, kita tiada masalah dari segi bekalannya. Cuma sekarang ini, yang perlu kita beri penekanan kepada pelaksanaan suntikan supaya disegerakanlah,” tegasnya.
Menurutnya, negeri seperti Terengganu mencatat kadar pelaksanaan suntikan vaksin sangat tinggi dan antara yang terbaik di seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, selain negeri ini, Kedah dan Perlis mencatat angka lebih 90 peratus. – HARAKAHDAILY 19/7/2021











