Kerajaan wajar gerak muafakat politik – PINTAR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin politik hendaklah menghentikan seketika perbalahan bagi memberi penumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan membela kebajikan rakyat.

Perbalahan politik yang berlaku sekarang di mana ada pihak membangkitkan untuk menukar kerajaan dan ada pula berkempen mahu tukar Perdana Menteri.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, perbuatan itu sesuatu yang sangat tidak sesuai sekarang.

Katanya apa yang membimbangkan sikap sebahagian ahli politik tidak habis-habis hanya mementingkan kuasa, tanpa memikirkan kesan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

- Advertisement -

“Kami mengecam mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam suasana negara sekarang. Suara-suara untuk menukar PM perlu dihentikan, begitu juga dengan kempen tanda pagar yang negatif mesti dihentikan.

“Kami turut meminta agar rakyat jangan terpedaya dengan kempen kerajaan gagal kerana terbukti kerajaan bertungkus lumus memberikan yang terbaik buat semua,” katanya pada kenyataan hari ini.

Oleh itu beliau meminta supaya perseteruan politik dihentikan seketika sehingga datang masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Kata beliau sudah tentu masa yang sesuai tersebut setelah kita mencapai imuniti kelompok berasaskan vaksinasi menyeluruh kepada rakyat.

Menurutnya juga PINTAR yakin majoriti ahli-ahli parlimen menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membangunkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Katanya Perdana Menteri berjiwa besar membuka ruang kerjasama dengan semua pihak yang ingin membantu, sama ada parti kerajaan dan pembangkang.

“Memperkukuhkan kerajaan dengan kebersamaan ahli-ahli politik dalam menghadapi pandemik, pasti akan dapat menstabilkan semula keadaan ke arah pemulihan ekonomi yang penting untuk diberikan tumpuan.

“Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini boleh dijadikan landasan untuk memperkukuh sokongan dan kebersamaan dalam usaha menguruskan negara,” ujarnya.

Dr Roslan juga berkata, pihaknya bimbang keadaan terkini pandemik Covid-19 yang menjangkau melebihi 5 angka kes harian sekarng perlu diberikan perhatian segera.

Begitu juga katanya, kerajaan turut memberi peruntukan RM300,000 kepada setiap ahli parlimen bagi menyediakan bakul makanan, merupakan usaha yang sangat baik.

Oleh itu beliau menyarankan peruntukan terbabit dapat disalurkan kepada semua ahli-ahli parlimen sebagai menunjukkan penghargaan terhadap sokongan dan kebersamaan wakil-wakil rakyat dalam membantu kerajaan.

“Kami mencadangkan kerajaan menggerakkan muafakat politik dan menyediakan apa yang dikenali sebagai ‘confidence and supply arrangement’ (perjanjian kepercayaan dan belanjawan).

“Antaranya dengan memberi peruntukan sebagai isyarat menghargai sokongan mereka dalam usaha berkerjasama bagi memastikan soal pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan baik,” ujarnya.

Menurutnya juga kumpulan-kumpulan yang menyokong kerajaan daripada luar kerangka parti kolisi sewajarnya diperteguhkan dalam muafakat politik yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Kami percaya Perdana Menteri sentiasa berjiwa besar dalam pentadbiran negara di mana usaha sebegini sekaligus akan dapat meletakkan negara dalam landasan terbaik bagi pelaksanaan pelan PPN,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2021

- Advertisement -