Kerjasama agensi agama negeri realisasi pembangunan tanah wakaf

- Advertisement -

Oleh ABU BAKAR RAHMA

BAGAN SERAI: Jalinan kerjasama antara agensi-agensi agama dan Yayasan Waqaf Malaysia merupakan salah satu elemen penting bagi merealisasikan pembangunan tanah wakaf di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kolaborasi antara agensi-agensi agama termasuk Yayasan Wakaf Malaysia dapat memanfaatkan pembangunan tanah wakaf.

- Advertisement -

Katanya, Yayasan Wakaf mempunyai hubungan yang akrab dengan semua pihak termasuk Majlis Agama Islam negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Kami akan melihat dari dekat sudut wakaf tanah tersebut mungkin boleh diadakan kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Musaadah 3.0 di Surau al-Faizin Taman Serai Permai Bagan Serai semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Ustaz Nasrudin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, DSP Mohd Azizul Mohd Khairi.

Sejumlah 100 kotak makanan diserah pada program tersebut. Pada sebelah pagi beliau turut menyampaikan sumbangan serupa di Ipoh yang membabitkan 100 penerima.

Pada lawatan itu Dr Zulkifli bersama Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria turut melawat tapak tanah di Kampung Alor Singa yang dibeli wakil rakyat terbabit untuk diwakafkan kepada asnaf.

Tanah tersebut dirancang dimanfaat golongan asnaf yang tidak mempunyai tanah untuk dijadikan sebagai tapak rumah.

Dr Zulkifli juga berkata, pengiktirafan kerajaan Arab Saudi terhadap penerima vaksin Sinovac untuk memasuki negara tersebut amat dihargai.

“Kerajaan Arab Saudi yang telah memberi satu ruang yang lebih besar lagi kepada mereka yang mengambil vaksin yang tidak terbatas hanya kepada Pfizer dan Astrazeneca.

“Tetapi adanya Sinovac dan lain-lain sudah tentu akan memberikan kepada kita peluang dan ruang sebagaimana rakyat Malaysia divaksinkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -