
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pelaksanaan Open Distance Learning (ODL) akibat pandemik Covid-19 telah menjadi satu bentuk cabaran baharu yang harus dihadapi para pelajar khasnya di institusi pengajian tinggi.
Pelbagai isu yang timbul seperti capaian internet, kemudahan peranti serta keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan bukan sahaja seakan tidak berkesudahan, malah menjadi antara faktor yang menyumbang tekanan kepada golongan tersebut.
Felo, Kaunselor Pusat kaunseling Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Nurul Naimah Rose berkata antara kaedah mengurangkan tekanan kepada pelajar adalah komunikasi yang baik antara pensyarah dan pelajar.

“Komunikasi antara pensyarah dan pelajar adalah perkara yang sangat penting, sebab komunikasi akan membawa kepada saling memahami.
“Pensyarah sudah pasti mahu pastikan tugasan yang diberikan siap dan objektif pengajaran tercapai, namun, sebagai pensyarah dia perlu melihat juga realiti atau keadaan situasi yang berlaku pada pelajar,” katanya.
Menurutnya lagi, antara lain sokongan dari orang sekeliling contohnya dalam kalangan ahli keluarga itu sendiri.
“Sokongan keluarga perlu ada, seperti mendengar luahan dan perasaan mereka, supaya dapat memberi kata-kata semangat untuk meneruskan ODL.
“Kerana orang yang berada dalam keadaan tekanan ini, selalunya dia tidak mampu untuk berfikir dengan jelas, semua yang dia nampak tidak dapat diselesaikan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.
Terdahulu, dua hari berturut-turut digemparkan dengan kematian dua orang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana didakwa tertekan selepas mengambil peperiksaan manakala seorang lagi dikatakan pembuluh darahnya pecah kerana tertekan mengejar tarikh tugasan yang diberikan. – HARAKAHDAILY 13/7/2021











