
Oleh MOHD SAFWAN MOHAMMAD
SEMPORNA: PAS Kawasan Semporna mengedar bakul makanan kepada beberapa penerima yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 di sini, semalam.
Para penerima bakul makanan di kawasan Kampung Sri Jaya, Kampung Mesra, Kampung Sungai Tuhok dan Kampung Tinagayan Laut adalah mereka yang betul-betul terkesan dari segi ekonomi kerana terjejas pendapatan harian.
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS kawasan, Razis Asparin yang mengetuai edaran bantuan itu menyatakan PAS sentiasa komited untuk membantu rakyat khususnya dalam situasi yang sangat membimbangkan kini.
“Kita sebagai anggota masyarakat juga perlu sentiasa cakna dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling agar kehidupan menjadi lebih sejahtera,” tambahnya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Semporna, Muhammad Huzaini Rohani yang turut serta berpesan supaya membanyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah agar wabak Covid-19 segera berakhir.
“Teruskan hidup dengan norma baharu, sentiasa menjaga SOP yang telah ditetapkan dan kurangkan keluar rumah jika tiada urusan penting,” jelasnya lagi.
Katanya, dalam situasi wabak yang melanda negara hari ini, kerjasama semua rakyat amatlah diperlukan untuk bersama-sama mengekang penularan wabak Covid-19 yang telah mengorbankan ramai mangsa.
PAS Semporna juga mengajak masyarakat yang belum menerima vaksin agar mendaftar segera di samping menyertai program Amal Blood Donation bersama Unit Tabung Darah Hospital Semporna yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Julai ini. – HARAKAHDAILY 13/7/2021











