Aktviti imarah masjid di Perlis dibenar mulai hari ini

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Berkuat kuasa hari ini, aktiviti kelas pengajian, kuliah dan sebagainya dibenarkan semula di masjid seluruh negeri Perlis dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.

Aktiviti pengimarahan masjid adalah dengan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri ini ketika fasa dua Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan.

- Advertisement -

Segala ketetapan sedia ada dikekalkan kecuali SOP penjarakan untuk solat dikurangkan daripada dua meter kepada 1.5 meter.

“Bacaan Al-Quran dan terjemahan selepas solat Subuh boleh dilaksanakan dalam tempoh 15 minit, kuliah Maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak dan tiada penceramah yang terlibat dalam aktiviti rentas sempadan dibenarkan untuk menyampaikan ceramah.

“Jamuan di masjid juga boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna untuk dibawa pulang sahaja,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat kepada asnaf, Kassim Mat Noh, 81 sempena program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 31 bagi tahun 2021’, petang semalam.

Kunjungan ke atas Kassim yang tinggal bersama dua orang anak di Kampung Sempering di sini bersempena program rutin kayuhan baginda di sekitar kawasan kariah Masjid Al Amin, Sempering dimulakan kembali setelah terpaksa dihentikan sementara selama hampir dua bulan atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Beliau merupakan penerima bantuan bulanan MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis,” titah baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Dalam majlis yang sama, seramai 30 orang asnaf terpilih turut menerima sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM700 setiap seorang yang diserahkan oleh baginda melalui amil kawasan berkenaan, Senawi Saad dengan nilai penuh RM21,000. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

- Advertisement -