
Oleh SARINA ISMAIL
PENDANG: Sebanyak 12,000 bakul makanan sedia untuk diagih kepada golongan sasaran seluruh Pendang.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya membelanjakan keseluruhan peruntukan sebanyak RM300,000 melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, baru-baru ini.
“Bakul-bakul makanan ini akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan wakil komuniti untuk diagihkan kepada golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.
“Di samping itu ia juga diserahkan kepada rakan-rakan Perikatan Nasional (PN), Bersatu dan Umno untuk disumbangkan di komuniti masing-masing,” jelasnya dalam sidang media di Markas PAS Pendang, tengah hari tadi.
Menurutnya, selain bantuan melalui PEMULIH, pihaknya dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Tokai juga mengeluarkan peruntukan masing-masing untuk penyediaan bakul makanan berkenaan.
“Ikutnya hanya 6,000 bakul sahaja dengan bantuan RM300,000 itu tetapi kerjasama PKWR Dun Tokai dan wang persendirian Adun serta ahli Parlimen, kita menyediakan 12,000 bakul agar sumbangan dapat diberi secara lebih menyeluruh kepada keluarga yang terkesan atau terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” tambahnya.
Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menegaskan, sekiranya masih ada yang terlepas pandang, segera hadir ke PKWR ataupun pusat-pusat operasi Umno dan Bersatu untuk mendapatkan bekalan.
Katanya lagi, sumbangan itu tidak membataskan fahaman politik, bangsa dan agama tetapi memberi keutamaan kepada yang benar-benar memerlukan di saat ini.
“Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan meluluskan peruntukan ini kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang.
“Bakul makanan PEMULIH ini sebagai pelengkap serta inisiatif kerajaan menerusi rancangan sebelumnya seperti Penjana dan lain-lain selain memasti dalam situasi sekarang ‘no one left behind’ untuk menerima bantuan,” jelas Awang.
Berikutan itu juga sehingga ini sebanyak 4,000 bakul makanan sudah pun diagihkan seluruh Pendang sejak PKP pada 1 Jun lalu.
Oleh itu, beliau mengharapkan pihak yang gemar ‘bermain politik’ dengan melabelkan kerajaan PN kononnya gagal agar lebih memberi penumpuan untuk membanteraskan wabak Covid.
“Kalau buat perbandingan dengan negara lain seperti Indonesia, India, Itali, Thailand hatta Singapura sekalipun, Malaysia antara negara yang begitu prihatin terhadap rakyat.
“Kerajaan membelanjakan berpuluh billion untuk membantu rakyat. Yang dok kata kata kerajaan gagal itu apa indikatornya?
“Kalau kita nak bandinglah, Selangor sahaja menyumbang 50 peratus kes Covid negara tapi kerana semua itu berada dalam Malaysia, tak mahulah nak tuding jari salah mana-mana pihak,” ujarnya.
Justeru kata Awang, kerajaan 22 bulan sebelum inilah sebenarnya yang gagal kerana ketika itu antara mereka bercakaran dan akhirnya jatuh dengan sendirinya. – HARAKAHDAILY 13/7/2021











