Permohonan pengeluaran i-Citra mulai hari ini

Kira-kira 44 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh di negara ini tiada caruman KWSP.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula hari ini melalui icitra.kwsp.gov.my.

KWSP dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bagi memudahkan untuk mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.

- Advertisement -

Menurut KWSP lagi, i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

Tambah kenyataan itu, jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan di mana pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021.

Ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman webnya di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848 untuk mendapat maklumat lanjut mengenai i-Citra dan cara membuat permohonan.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka.

Ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap; dan mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan layak memohon.

Permohonan boleh dibuat mulai 12 Julai hingga 30 September 2021. – HARAKAHDAILY 12/7/2021

- Advertisement -