Selangor perlu proaktif tingkat program imunisasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor perlu terus fokus dan proaktif dalam meningkatkan kapasiti program imunisasi untuk mencapai imuniti kelompok.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata itu sahaja cahaya yang dapat dilihat di hujung terowong.

Menurutnya, pemimpin negeri dan masyarakat, lantikan kerajaan, ahli majlis, ketua kampung, penggerak belia tempatan, jawatankuasa rumah ibadat dan lain-lain harus digerakkan dalam membantu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara serius.

- Advertisement -

Katanya, kawalan pematuhan dalam kalangan pekerja-pekerja juga harus diberi keutamaannya dengan serius.

“Kalau tidak Kerajaan Selangor akan terus gagal menurunkan kes Covid-19 yang masih dijuarai pada masa ini,” ujarnya yang juga Adun Sijangkang.

Tambahnya, tidak adil untuk rakyat terus dihukum untuk merasai kesejahteraan kehidupan.

Beliau berkata, ini kerana Selangor terus menunjukkan peningkatan kes positif setiap hari dan terkini melepasi angka 4,000 sehari yang dijangkan akan terus bertambah.

Justeru, ujarnya kerajaan negeri dan Jawatankuasa Khas Covid-19 Selangor harus merancang secara serius untuk menanganinya.

Katanya, Pusat CAC Stadium Malawati sesak dengan pesakit, frontliner keletihan, makanan tidak mencukupi dan pengasingan pesakit positif dan negatif tidak terkawal.

“Ini antara rintihan yang sampai kepada saya. Kalau ada kebenarannya, perlu ditangani segera.

“Teruskan doa semoga Allah SWT angkat musibah yang menimpa kita,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/7/2021

- Advertisement -