
Oleh ZULFAHMI RAMLI
MORATORIUM atau istilah lebih tepatnya bantuan pembayaran pembiayaan, payment assistance menjadi antara topik utama dalam membicarakan inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) ketika ini.
Pelbagai persoalan timbul, malah tidak kurang juga adanya fakta yang cuba dipolemikkan dalam masyarakat atas pelbagai tujuan termasuk juga mereka yang menyasarkan emosi masyarakat untuk kepentingan politik.
Walhal ketika ini, semangat kepada inisiatif tersebut adalah membantu menangani permasalahan rakyat dengan menawarkan pilihan sekurang-kurangnya membuka jalan menerokai penyelesaian yang diharapkan.
Jadinya, boleh atau perlu ambil atau tidak ‘moratorium’ ini? Jawapannya tidak sama bagi setiap seorang sebenarnya tetapi bergantung kepada situasi yang sudah semestinya berbeza di antara satu sama lain.
Ianya melibatkan mereka yang sudah kehilangan atau terputus sumber pendapatan atau mereka yang mengalami kekurangan dana atau mereka yang masih kekal menerima gaji tetap sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Namun, kategori masyarakat berdasarkan kadar pendapatan terdahulu yang mungkin dirujuk kepada slip gaji dan penyata cukai sahaja sudah tidak tepat dalam menggambarkan situasi semasa ketika ini walaupun amalan berjimat tetap menjadi keutamaan.
Dalam pada itu, kos sara hidup dilihat berlaku peningkatan meliputi utiliti yang meningkat penggunaan kerana lebih lama berada di rumah, belanja harian dapur dan ditambah pula perbelanjaan bagi menyokong PdPR atau BDR.
Sudah pasti terdapat perbezaan melibatkan komitmen tanggungan perbelanjaan keperluan normal yang baharu berlakunya perubahan. Bagi yang mempunyai simpanan tunai berkemungkinan menyusut manakala mereka yang langsung tiada simpanan tunai boleh menyebabkan masalah aliran tunai.
Oleh yang demikian, penulis lebih memilih untuk mencadangkan agar diambil moratorium sebagai replacement income kepada yang terkesan atau extra income termasuk mereka yang mungkin masih berpendapatan tetap namun mesti diurus dengan sebaiknya.
Kata kunci utamanya adalah pengurusan kewangannya dengan beberapa tujuan yang baik dan ada nilai penting buat kehidupan kita dan masyarakat keseluruhannya.
Pertamanya, bagi mereka yang benar-benar terkesan, gunakanlah moratorium untuk menyusun semula kewangan sementara ujian pandemik berakhir dengan menjadikan sebahagiannya modal untuk generate income bagi kelangsungan hidup.
Keduanya, bagi mereka yang mengalami kekurangan di sana sini, tampunglah dengan melihat kepada keperluan di samping bertindak memulakan perniagaan kecil dan sederhana yang rendah risiko juga sebagai reserve income.
Sedikit sebanyak akan dapat membantu mengimbang dan menstruktur semula kedudukan kewangan tanpa perlu berhutang dengan pihak lain bagi tujuan menampung kekurangan tersebut.
Ketiganya, bagi mereka yang tidak terganggu pendapatan tetapi ada keperluan lain termasuklah digunakan untuk membantu adik beradik, saudara mara dan sahabat handai yang memerlukan perhatian kita.
Ianya juga boleh digunakan untuk mengaktifkan cycle ekonomi contohnya digunakan bagi pengubahsuaian rumah kediaman contohnya yang mana secara langsung membantu peniaga kecil mendapat kontrak kerja.
Di samping itu, boleh dimanfaatkan untuk pelaburan yang akan mengembangkan dana kewangan sedia ada serta mampu mewujudkan ekosistem ekonomi yang mampan melalui sumbangan kecil kita seumpama ini.
Maka, sewajarnya kita semua mengambil sikap yang positif serta berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman agar inisiatif yang ditawarkan dapat dimanfaatkan merangkumi pelbagai kelompok masyarakat.
Walau bagaimanapun, mulakan dengan bertenang seketika serta berfikir secara rasional seketika dan seterusnya aturkan langkah sebaiknya dengan bertanyakan dengan pihak bank atau mengambil pengalaman rakan-rakan yang sekufu.
Insya-Allah berdoa, berusaha dan berikhtiar terlebih dahulu sebelum akhirnya bertawakkal kepada Allah SWT melalui solat sunat istikharah agar diberikan petunjuk bagi membuat keputusan yang terbaik.
Maksud Firman Allah SWT dalam surah al-Syura, ayat 20:
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”
Allah tidak memberi apa yang kita mahu semata-mata, sebaliknya Allah memberi apa yang kita perlu. Setiap tindakan kita untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Amin. – HARAKAHDAILY 8/7/2021











