
Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong penuh tindakan Ketua Polis Negara (KPN) yang mengerakkan Pasukan Gerak Am (PGA) bagi menjaga ketenteraman awam membabitkan operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, itulah akibat yang ditimpa daripada perbuatan menghalang, menghasut, membuat provokasi dan menghina penjawat awam secara keterlaluan dan biadap.
Kenyataan itu merujuk kepada kejadian kecoh yang ditimbulkan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Roonie Liu bersama pekebun haram Musang King semasa operasi penguatkuasaan dilaksanakan beberapa hari lalu.
“UMMAH menyokong penuh tindakan tegas kerajaan negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Pahang dan Pejabat Tanah dan Daerah Raub dan PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang dan menjamim keselamatan dan ketentetaman awam.
“Semua pihak sama ada rakyat mahu pemimpin hendaklah mematuhi kedaulatan undang-undang di negara ini,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Majistret Raub, membenarkan 18 pekebun durian ‘Musang King’ direman selama dua hari hingga hari ini untuk siasatan lanjut, sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang turut ditahan dilepaskan dengan ikat jamin kira-kira jam 12 tengah malam.
Semua mereka ditahan Ahad lalu, selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.
Penahanan reman terhadap pekebun itu juga dibuat bagi membolehkan siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub untuk menanam Musang King.
Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula Ahad hingga 2 Ogos ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk PDRM.
Difahamkan, kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu mempunyai pokok durian Musang King yang sudah mengeluarkan hasil. – HARAKAHDAILY 7/7/2021











