
SOALAN ini sukar dijawab tepat. Kadangkala memahami apa yang peguam bukan lebih mudah daripada mengerti siapakah peguam.
Saya selalu ajarkan kepada anak-anak pelajar saya begini:
1. Peguam bukan pensyarah.
Oleh itu, dalam hujahan bertulis atau hujahan lisan, jangan syarahkan panjang-panjang berkenaan prinsip undang-undang. Ramai peguam muda kagum dengan banyaknya kes yang dapat disumbat. Walhal tidak relevan.
Hujahan bukan syarahan. Tidak perlu menceritakan kesemua prinsip yang ada hanya untuk menunjuk anda tahu. Hujahkan prinsip yang relevan dengan kes anda sahaja.
2. Peguam bukan pelajar undang-undang.
Kes-kes yang dirujuk mestilah tertinggi atau terkini. Tertinggi bererti carilah kes Mahkamah Rayuan atau Persekutuan yang relevan, atau jika tiada, kes terkini. Ramai peguam muda tidak lakukan kajian dengan betul dan tepat.
Hanya bergantung kepada ‘old celebrated case’ yang dipelajari semasa LLB. Anda bukan pelajar lagi. Prinsip Donoghue Stevenson boleh dipakai, tetapi perkembangannya perlu dihujah dengan tepat.
3. Peguam bukan ahli politik.
Tidak, anda tidak perlu cakap berdegar-degar seperti ahli politik mahu kehilangan kerusi. Intonasi perlu ada, tetapi perlulah selesa dan lunak didengar. ‘Pleasant’. Hakim tertekan dengan banyaknya kes yang ingin diputus. Jangan tambah tekanan dengan intonasi anda yang menjerit-jerit.
Kelajuan percakapan anda juga mesti ‘andante’ atau kira-kiranya seperti anda berjalan. Tidak terlalu lambat, dan tidak berlari. Penekanan dibuat tapi bukan dengan menjerit atau mengherdik. Cukuplah ahli politik menjerit dari pentas-pentas politik.
4. Peguam bukan penulis cereka.
Semua hujah mesti bersandar fakta, bukan rekaan. Sering kali kita lihat peguam ‘submit from the bar’, atau menyata fakta yang tiada dalam keterangan atau dokumen. Ia tidak dibenarkan. Semuanya mesti berlandas fakta. Goreng hancing di kedai-kedai mamak tidak boleh sama sekali. Kes mahkamah bukan cerita rekaan, ia cerita sebenar.
Akhir kata, kalau anda tidak tahu bagaimana menjadi peguam yang baik, hayatilah bagaimana untuk tidak jadi bukan peguam, di mahkamah. Nescaya, anda akan lihat perubahannya.
YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 7/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/102136115453190/posts/118312503835551/











