
DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub. Hari ini, sudah masuk hari ke-5 operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan di kawasan tersebut.
Pencerobohan ini secara jelas telah melanggar Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), apabila sebahagian pekebun-pekebun bertindak meneroka kira-kira 250 ekar tanah Hutan Simpan Kekal secara haram, untuk penanaman Durian Musang King. Tindakan tersebut selain menyebabkan kerosakan kawasan Hutan Simpan Kekal, adalah juga merupakan suatu perkara yang tidak beretika dengan mengaut keuntungan berlipat ganda di atas tanah milik kerajaan.
Dalam hal ini, Pemuda PAS melahirkan rasa jelek atas tindakan DAP yang mempolitikkan isu ini, dan cuba menegakkan benang yang basah dengan menyerang dan mengganggu tugas penguatkuasa awam. DAP sepatutnya menyokong usaha Kerajaan Negeri Pahang yang cuba melindungi ekosistem Hutan Simpan Kekal yang sudah diwartakan oleh kerajaan. Tindakan pekebun ini secara tidak langsung merosakkan flora dan fauna sekelilingnya. Pemuda PAS berpendapat DAP hanya cuba menjadi juara bagi membela kaum Cina dalam hal ini. Ini jelas membuktikan DAP merupakan sebuah parti yang rasis apabila tanah orang Melayu di Pulau Pinang yang dirampas oleh Kerajaan Negeri mereka tidak pernah langsung dibela.
Pemuda PAS turut mengucapkan tahniah kepada PDRM atas tindakan tegas terhadap ADUN Sungai Pelek dan ADUN Tras yang biadab dan menghalang kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan. Tindakan kedua ADUN tersebut tidak menggambarkan perilaku sebagai seorang wakil rakyat. Diharapkan tindakan undang-undang yang keras dikenakan agar menjadi pengajaran juga kepada orang lain.
Suka Pemuda PAS mengingatkan semua pihak supaya menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dalam segala tindakan. Sebarang tindakan yang tidak berlunaskan undang-undang tidak seharusnya dipertahankan. Pemuda PAS juga menyeru rakyat Malaysia agar menolak parti politik yang cuba mengajak rakyat membelakangkan undang-undang, semata mahu menjadi popular di mata rakyat.
YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/7/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/479387615411779/posts/4854175574599606/











