
Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Biarpun ahli politik mempunyai perbezaan pandangan politik, ideologi dan idea tetapi rakyat perlu menolak pemimpin politik yang cuba menanam perasaan benci dan anasir jahat terhadap kaum dan agama.
Penganalisis Politik dan Pentadbiran, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk pemimpin politik yang mempersenda dan memperlekehkan Islam.
“Tiada kompromi terhadap isu ini, kerana ia membabitkan maruah Islam yang tidak boleh dipolitikkan oleh mana-mana individu daripada parti politik mahupun bukan parti politik.
“Tindakan tegas ini sebagai amaran dan pengajaran kepada pihak-pihak berkenaan bahawa bukan semua perkara boleh dipolitikkan.
“Jika tiada tindakan tegas sedemikian, saya khuatir perlakuan demikian akan berulang dan semakin ramai yang akan berani dan hilang hormat kepada Islam serta undang-undang di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang memuat naik tulisan berbaur provokasi dan sindiran terhadap tazkirah secara maya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung istilah ‘kerajaan Allah’.
Tawfek berkata tindakan itu juga memperlihatkan Kit Siang tidak menghayati dan menghormati Rukun Negara yang menjadi tiang seri kehidupan rakyat Malaysia selama ini.
“Bagi saya, tindakan yang boleh diambil ialah dengan meminta beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini dan mengheret beliau ke mahkamah.
“Kita perlu bertindak tegas kerana elemen politik berbaur perkauman, kebencian kepada agama dan hasutan melampau boleh menggugat keselamatan dan perpaduan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Kit Siang bagaimanapun bertindak memadamkan status itu tidak berapa lama kemudian selepas menerima kecaman pengguna media sosial yang menyifatkannya tidak memahami maksud sebenar ‘kerajaan Allah’ yang disampaikan Tuan Guru Abdul Hadi sehingga menyeleweng maksud sebenar. – HARAKAHDAILY 6/7/2021











