NGO diseru bantah himpunan bendera hitam

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR:
Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki menyeru semua NGO membuat bantahan atas penganjuran himpunan raksasa bendera hitam oleh pendukung BGLTQI pada Ogos ini. 

Katanya jika membiarkan himpunan itu berjalan, ia bermakna mengiktiraf aktiviti LGBT di Malaysia.

- Advertisement -

Beliau menegaskan budaya LGBT adalah bercanggah dengan syariat serta budaya ketimuran.

Tegas beliau penganjuran program itu jelas mencabar kemurniaan Islam dan adab susila orang Melayu wajar ditentang oleh rakyat dan dihalang oleh pihak berkuasa.

“Penggerak LGBT tempatan telah merancang untuk mengadakan himpunan gergasi Bendera Hitam LGBT pada Ogos ini.

“Bukan hanya berhimpun, malah mereka menjanjikan himpunan tersebut akan disusuli aksi gergasi bagi melawan kerajaan,” tegasnya.

Sebelum ini sebuah portal berita menyiarkan kenyataan himpunan raksasa bendera hitam BGLTQI akan diadakan pada Ogos ini.

Himpunan yang dinamakan himpunan raksasa bendera hitam pendukung BGLTQI akan digerakkan pada Ogos ini bagi memberi mesej keras supaya Perdana Menteri Malaysia meletakkan jawatan.

Pelangi Campaign atau kumpulan yang dianggotai sekumpulan penyokong BGLTQI didakwa sedang bergerak dan berkempen untuk memastikan himpunan itu akan memberikan impak yang telah dirancang. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -