
KUALA LUMPUR: Keceluparan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menerusi satu kenyataan di blognya baru-baru ini tidak mencerminkan seorang pemimpin yang cintakan persekitaran masyarakat yang hidup aman damai, bahkan hanya mementingkan diri serta agenda kepartiannya.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu disifatkan terlalu biadab dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang merupakan majoriti penduduk di negara ini.
Menurutnya, Kit Siang sewajarnya mempamerkan sikap yang baik serta boleh diteladani kepada semua rakyat, terutamanya ahli-ahli serta pimpinan di dalam DAP.
“Sebagai pemimpin masyarakat, dia patut bersama-sama mewujudkan suasana damai dalam negara,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.
Justeru katanya, ‘Bapa Bangsa DAP’ ini wajar ditolak terutamanya oleh para pengundi Melayu di dalam pilihan raya umum yang akan datang.
“Negara memerlukan pemimpin yang cintakan kehidupan damai bagi masyarakat bukan pemimpin yang memikirkan agenda diri dan partinya semata-mata,” tegasnya.
Sebelum ini, Lim Kit Siang menerusi satu tulisan di blognya telah menghina Islam secara terang-terangan yang didakwa merujuk kepada artikel terkini, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bertajuk Pandemik Covid-19 dan Pandemik Politiking.
Walau bagaimanapun, ulasannya terhadap artikel berkenaan yang menimbulkan salah faham dan lari dari konteks yang disiarkan di media sosial, akhirnya dipadamkan setelah dikecam hebat oleh para netizen. – HARAKAHDAILY 6/7/2021











