
PERNAHKAH terdetik di hati kita mengapa ada manusia yang merokok, jelas ia memudaratkan kesihatan? Mengapa ada yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, terbukti ianya merosakkan masa hadapan? Mengapa ada anak-anak yang sanggup mengkelar-kelar pergelangan tangan sendiri, sedangkan ia menyakitkan?
Tahukah kita tindakan-tindakan ini sebenarnya adalah antara cara manusia mengendalikan emosi (coping mechanism) sewaktu berdepan dengan cabaran hidup. Tujuan utamanya adalah bagi melepaskan diri dari perasaan sedih, kesakitan, rasa keseorangan, rendah diri dan sebagainya yang sedang dirasai. Namun ternyata cara ini memberi mudarat.
Pemilihan mekanisma pengendalian emosi seseorang boleh terbentuk dari didikan, sokongan dan perhatian yang diterima, pengalaman hidup, ilmu pengetahuan, keyakinan dan faktor persekitaran.
Terdapat pelbagai langkah yang positif bagi mengendalikan emosi, antaranya ialah dengan cara meningkatkan hormon gembira. Hormon ini terhasil sewaktu kita melakukan aktiviti kreatif atau fizikal, meluangkan masa bersama insan tersayang, menonton atau membaca bahan bacaan yang digemari, bertafakur dan mencabar diri untuk mencapai sasaran yang positif.
Ada di antara kita memilih untuk meluahkan perasaan apabila berada di dalam kesedihan atau kekusutan. Secara tidak langsung separuh dari beban emosi menjadi ringan apabila perasaan tersebut dapat dikongsi dengan seseorang yang memahami. Biarpun begitu tidak semua antara kita bersedia untuk bercerita kelemahan diri, bimbang menjadi senjata makan tuan atau dihakimi secara membuta-tuli.
Jika itu menjadi kerisauan, meluahkan perasaan kepada orang asing yang boleh dipercayai mungkin lebih sesuai. Terdapat pelbagai organisasi di luar sana yang menawarkan khidmat pendengar aktif (active listener) bagi membantu masyarakat.
Talian sejahtera, talian kasih, KSK-Care JAKIM dan banyak lagi alternatif patut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat yang memerlukan sokongan. Talian-talian ini menjaga kerahsiaan pemanggil (confidentiality) dan ada yang menawarkan khidmat pakar bertauliah jika diperlukan.
Kerana setiap kita mempunyai mekanisma pengendalian emosi yang berbeza, kenali pilihan kita dan pastikan ia tidak memberi mudarat kepada diri apatah lagi menjauhkan kita dari kasih sayang Allah S.W.T.
Sebagaimana keupayaan badan kita berbeza apabila berdepan dengan jangkitan sama ada disebabkan oleh virus, bakteria, kulat atau parasit, begitu juga apabila berdepan dengan ujian hidup terutamanya di era pandemik ini. Kenal pasti jika mekanisma pengendalian emosi kita tidak lagi efektif, dapatkan segera bantuan bagi memastikan kesejahteraan mental kita kekal terpelihara. Memelihara kesihatan mental sama pentingnya dengan menjaga kesihatan fizikal.
Jika anda memerlukan sokongan, sila hubungi:
Talian Sejahtera = 011-5338-2177
Talian Kasih = 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999
KSK-Care JAKIM = WhatsApp 0111-9598214
DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Active listener & Mental Health first aider
Alderley Park – HARAKAHDAILY 6/7/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











