
KOTA BHARU: Sejak Januari lepas kira-kira 7,500 penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19 menerima sumbangan disampaikan Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa.
Sumbangan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi membantu golongan yang memerlukan termasuk nelayan, petani, golongan asnaf dan miskin.
Katanya bantuan diberi termasuk makanan keperluan harian dan wang tunai.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria berkata, sumbangan itu diberi termasuk keluarga yang dikenakan kuarantin dan buruh tidak dapat bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang.
“Sebelum ini kita agih kepada golongan sasar, namun kali ini diperluaskan kepada golongan yang lain,” katanya kepada Bernama pada Program Pembahagian Sumbangan Parlimen Pengkalan Chepa di Kampung Landak hari ini.
Pada program tersebut, Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa menyerah pek makanan termasuk barangan basah untuk keperluan 180 penduduk di Kampung Pulau Tukang Dollah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 Jun lepas.
Menurutnya juga pihaknya akan mengagihkan Bantuan Bakul Makanan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bermula minggu depan.
Kata beliau sumbangan terbabit membabitkan peruntukan sebanyak RM300,000 akan dimanfaat seramai 3,000 penerima yang layak.
Penghulu Mukim Pulau Panjang Wan Zakaria Wan Ali pula berkata bekalan makanan yang diperuntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diagih kepada penduduk di kampung berkenaan tiga kali sehari.
Di Pasir Mas sebanyak 400 bakul makanan diagihkan kepada penduduk terjejas di beberapa kampung di kawasan Parlimen Pasir Mas kelmarin.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, bakul makanan itu diagih kepada penduduk di Kampung Kasa, Jias, Padang Embun, Bechah Durian dan Pohon Buluh.
Katanya sebanyak 4,000 bakul makanan yang disediakan melibatkan peruntukan RM300,000 menerusi program PEMULIH.

Di Kuala Krai Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah mengagihkan bantuan kepada peniaga kecil yang terkesan akibat PKP 3.0.
Seramai 25 peniaga kecil yang terjejas di setiap mukim menerima sumbangan itu.
Mohd Fauzi berkata, agihan itu dibuat secara berperingkat membabitkan sembilan mukim yang terdapat di Dun Manek Urai.

Di Tanah Merah Adun Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmood pula menyumbang makanan kepada petugas-petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di IKBN Tanah Merah.
“Saya memahami penat lelah bertugas sebagai petugas barisan hadapan dan memberi komitmen bertugas enam hari minggu.
“Dari pagi hingga petang mereka bertungkus-lumus bagi membantu rakyat Dun Bukit Panau menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya di sini.
Sumbangan itu disampaikan wakil Pusat Khidmat Dun Bukit Panau Mohd Nazir Yusoff.

Sementara itu di KEDAH, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit turut mengagih bantuan Bakul Makanan kepada penduduk yang terjejas di kawasan Parlimen terbabit.
Program agihan itu diadakan dengan kerjasama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), masjid dan NGO.
“Peruntukan berjumlah RM300,000 diterima daripada kerajaan pusat bagi membantu rakyat yang layak. Kerja-kerja pengagihan akan dimulakan minggu hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2021











