Kenapa pembangkang sukar tumpu tangani Covid-19

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mempersoalkan kenapa sukar sangat untuk ahli politik pembangkang bersatu hati memberi tumpuan sepenuhnya menangani wabak Covid-19.

Katanya, rakyat melihat ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) hanya berfikir untuk berkerajaan dan menukar Perdana Menteri.

- Advertisement -

Menurut beliau, sidang Parlimen yang akan dirancang untuk bersidang awal Ogos ini, sudah mula ada suara untuk dijadikan platform menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dahulu semasa menjadi kerajaan dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, tidak pula berfikir panjang untuk mengurus tadbir kerajaan dengan baik,” tegasnya.

Tambah beliau, Kerajaan PN inilah yang bersusah payah mengambil alih urus tadbir negara terutamanya dalam menangani wabak Covid-19 dan hari ini kerajaan PN ampuh, urus tadbir dengan baik oleh menteri-menteri dan Perdana Menteri.

“Cubalah letak dahulu senjata politik yang merosakkan negara dan berganding bahu menangani wabak Covid-19 yang melanda negara kita.

“Tumpukan kepada menyelamatkan nyawa rakyat, gelombang menggalakkan pengambilan vaksin agar imuniti kelompok tercapai dan wabak Covid-19 ini dapat ditangani.

“Rakyat akan melihat fokus ahli politik kalau ahli politik asyik berpolitik dalam keadaan kesusahan rakyat, rakyat akan hukum dalam PRI15 nanti,” ujarnya yang juga Adun Sijangkang.

Rakyat akan ajar ahli politik PH yang membawa ‘wabak politiking’ sepanjang masa, tegas beliau.

“Biarlah kita berpolitik bila tiba masa Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, hargai nyawa rakyat yang bertungkus lumus untuk terlibat sama memajukan negara kita yang kita sayangi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -