Adun Kelantan buat persiapan awal hadir sidang Dun

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan bersiap sedia untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan apabila tarikh persidangan dimuktamadkan.

Setiausahanya Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata pihaknya hanya menunggu masa untuk menghadiri persidangan Dun berkenaan apabila diarah oleh Speaker Dewan Undangan Negeri.

- Advertisement -

Katanya Speaker Dun Kelantan sebelum ini memberitahu persidangan Dun akan dibuat selepas mengambil kira pembukaan Parlimen.

“Kami membuat persiapan awal dan apabila tiba masanya kami akan hadir untuk berbincang masalah rakyat terutama bagi menangani kesan penularan Covid-19 sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub memberitahu Dewan Undangan Negeri Kelantan akan bersidang selepas Parlimen dibuka.

Sementara itu Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berkata sebanyak RM226,000 dibelanjakan pihaknya dalam usaha membantu masyarakat yang berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 2,260 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di Dun Pasir Tumboh.

Menurut beliau pengagihan dilakukan 18 penghulu mukim di Dun tersebut.

“Sumbangan diberi secara berterusan oleh Pusat Khidmat Dun Pasir Tumboh kepada penduduk kampung yang terjejas supaya tidak ada yang terputus bekalan makanan.

“Penghulu terpaksa bekerja tanpa mengira waktu bagi menghantar bekalan makanan keperluan harian kepada penduduk yang terjejas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -