
KUALA LUMPUR: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menyeru masyarakat Malaysia mengamalkan sikap ambil peduli, cakna dan saling membantu terhadap individu yang kurang bernasib baik terutamanya kenalan dan saudara terdekat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, dalam konteks kesihatan mental, bantuan yang dihulurkan boleh merangkumi pelbagai aspek.
Ia termasuk menghulurkan bantuan dengan cara mendengar luahan, memahami keluh kesah-kesah mereka, menyumbang idea dan buah fikiran, memberikan kata-kata perangsang, menuturkan kata-kata yang baik, mendoakan kesejahteraan mereka dan sebagainya, kata beliau.
Beliau berkata demikian mengulas berhubung kebimbangan gejala bunuh diri yang semakin berleluasa seperti yang dilaporkan media arus perdana kebelakangan ini.
Sementara itu, PMWP dalam masa sama turut berharap agar aspek keagamaan sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan dalam usaha menangani peningkatan kes bunuh diri ketika ini.
“Masyarakat kini tercari-cari ruang bagi mententeramkan jiwa setelah terkesan akibat Covid-19 dan PKP.
“Oleh itu, pembukaan masjid dan surau secara berperingkat sejurus keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilihat antara langkah terbaik bagi memulihkan semula aspek kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Menjelang hari raya Aidiladha tahun ini juga, PMWP menyarankan kepada umat Islam yang akan menjalani ibadah korban agar mengutamakan pengagihan daging korban kepada ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan kenalan yang ditimpa kesusahan dengan mematuhi ketetapan SOP semasa.
“Pemberian ini serba sedikit dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, aspek emosi dan kesihatan mental individu yang terjejas boleh menyebabkan kecelaruan dalam berfikir seterusnya mendorong perilaku-perilaku yang bercanggah dengan syarak.
Malah, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini juga menzahirkan harapan agar proses-proses pemulihan segera dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia sentiasa terjamin, katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan melaporkan bahawa secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei lalu.
Katanya, jumlah kes bunuh diri yang dicatatkan pada 2019 adalah sebanyak 609 kes manakala pada 2020 sebanyak 631 kes dan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula berjumlah 468 kes. – HARAKAHDAILY 1/7/2021











