Radang pada apendiks masih boleh membawa maut

- Advertisement -

Oleh Ms (Dr) Afizah Salleh dan Dr Rosnani Zakaria

Sakit perut adalah perkara biasa yang dialami oleh kebanyakkan orang. Selalunya ia tidak serius dan rawatan cukup dengan sapu minyak angin atau dengan urutan. Namun begitu agak kerap kita mendengar sakit perut yang berakhir dengan pembedahan dan ada juga membawa maut walaupun sangat jarang.

- Advertisement -

Antara punca sakit perut yang serius ini dan kerap berlaku adalah keradangan apendiks ataupun selalunya cuma dipanggil apendiks sahaja. Keradangan apendiks adalah radang pada bahagian apendiks, iaitu organ yang melekat pada cecum ataupun sekum, bahagian pertama usus besar yang bersambung dengan usus kecil.

Dahulu organ ini dianggap sebagai tambahan yang tiada fungsi, namun kini apendiks diketahui mempunyai fungsi dalam imuniti badan di mana terdapat banyak tisu limfoid pada apendiks yang mempunyai sel limfosit B dan berupaya menghasilkan Immunoglobulin A iaitu sejenis antibodi. Keadaan usus besar yang penuh dengan kuman di dalam najis menyebabkan apendiks sangat terdedah dengan kuman-kuman ini.

Oleh kerana apendiks ini berada disebelah kanan perut maka kebiasaanya pesakit akan merasa kesakitan di di sebelah kanan perut. Keradangan apendiks ini telah berlaku sejak berzaman-zaman, dan pada era sebelum kemajuan antibiotik dan pembedahan. Namun demikian, dengan ilmu yang semakin bertambah dalam bidang perubatan, penambahbaikan alat untuk membuat diagnosis dengan lebih cepat dan tepat, pilihan rawatan yang semakin canggih dan antibiotik yang semakin baik, keadaan ini selalunya berjaya dirawat dan pulih dengan baik.

Namun begitu masih lagi terdapat kes keradangan apendiks yang membawa kematian dan komplikasi yang teruk.

Secara teorinya keradangan apendiks berlaku apabila bukaan pada apendiks tersumbat. Apendiks sangat mudah tersumbat sama ada oleh cecair atau najis keras kerana ia hanya mempunyai satu bukaan sahaja yang bersambung dengan usus. Hanya 15% sahaja daripada kes yang dibedah menemui sumbatan najis (fecolith) di dalam lubang apendiks, 85% lagi punca keradangan tidak dapat dikenal pasti.

Apabila berlaku sumbatan, dinding apendiks menjadi bengkak, menyebabkan aliran darah dibahagian tersebut tersekat yang menyebabkan terjadinya jangkitan kuman. Kemudian radang yang bermula pada bahagian lapisan dalam ini akan merebak ke seluruh dinding apendiks sehingga ke lapisan dinding paling luar. Apabila didnding paling luar ini tersentuh dengan bahagian dalam dinding perut , pesakit akan merasa sakit terutamanya apabila bahagian itu ditekan dan dilepaskan semasa pemeriksaan.

Gejala yang klasik untuk masalah keradangan apendiks adalah sakit yang datang dan hilang (colicky) bermula di bahagian pusat. Kemudian sakit itu berpindah ke bahagian kanan bawah (right iliac fossa). Gejala lain yang mungkin berlaku adalah demam, tiada selera makan, muntah dan loya. Bergantung pada kedudukan hujung apendiks, pesakit boleh juga datang dengan gejala seperti jangkitan kuman pada air kencing dan juga berak cair. Apabila pemeriksaan fizikal dilakukan, terdapat kesakitan pada bahagian bawah abdomen.

Diagnosis paling mudah dilakukan apabila radang apendiks berlaku kepada lelaki muda yang berusia sekitar umur 13 hingga 30 tahun. Apabila radang apendiks berlaku kepada wanita, kanak-kanak dan orang tua, diagnosis menjadi agak sukar kerana gejala klasikal jarang berlaku. Mereka mungkin hanya mengadu perut berangin, tiada selera makan, kurang selesa pada perut ataupun sakit dan kerap kencing sahaja.

Maka banyak juga kes seperti ini yang lambat datang ke hospital kerana menyangka mereka hanya diserang sakit gastrik, keracunan makanan atau jangkitan kuman pada air kencing. Mereka hanya akan datang apabila keadaan menjadi teruk akibat apendiks pecah dan kuman merebak ke seluruh bahagian dalam abdomen.

Apabila kuman merebak keseluruh badan (sepsis) pesakit boleh mengalami kekeringan dalam badan, organ seperti buah pinggang rosak dan seterusnya mengalami renjatan (shock) yang akhirnya membawa maut akibat kerosakan sistem pernafasan dan jantung ( cardiopulmonary ).

Untuk wanita pula ada banyak organ di bahagian kanan abdomen yang boleh menjadi radang dan menyebabkan sakit yang menyerupai radang apendiks. Kerap kali pemantauan terpaksa dilakukan lebih lama untuk mengetahui jika mereka benar-benar mengalami masalah radang apendiks ataupun masalah lain. Mungkin ini dipengaruhi oleh keupayaan mereka menerima rasa sakit (pain threshold ) dan pengaruh hormon.

Satu lagi golongan yang boleh menjadi cabaran besar kepada doktor untuk membuat diagnosis adalah mereka yang obes. Dinding abdomen yang tebal menyebabkan sukar untuk pesakit merasa sakit dan menunjukkan tanda sakit. Mereka boleh datang dengan apendiks yang sudah pecah tetapi boleh berjalan seperti biasa dan hanya merasa sedikit kesakitan atau tidak selesa di sebelah kanan abdomen.

Bagi warga emas dan kanak-kanak kecil, apabila diagnosis lambat dibuat dan pembedahan ditangguhkan, dan apabila apendiks pecah, kuman merebak ke bahagian abdomen dan seterusnya ke seluruh badan, keadaan mereka boleh menjadi sangat teruk berbanding golongan dewasa. Ini kerana keadaan fiosiologi badan mereka yang tidak sebaik golongan dewasa.

Pada peringkat awal radang apendiks, ujian darah dan pemeriksaan radiologi seperti ‘ultrasound’ dan ‘CT Scan’ selalunya tidak banyak membantu kerana ianya tidak spesifik. Bermakna jika ujian darah adalah normal dan pemeriksaan radiologi menyatakan bahawa apendiks tidak bengkak dan tiada keradangan yang boleh dilihat, tiada cecair di dalam ruangan pelvik ataupun apendiks tidak dapat dilihat dengan jelas kerana faktor usus kecil atau lapisan lemak yang tebal, diagnosis radang apendiks masih tidak boleh ditolak.

Apabila keadaan ini berlaku, doktor akan memberi pilihan kepada pesakit sama ada untuk terus melakukan pembedahan ataupun memantau lagi tahap kesakitan. Pemeriksaan laparoskopi adalah pemeriksaan yang dilakukan di bilik bedah untuk kes di mana kemungkinan radang apendiks tidak boleh ditolak. Diagnosis akan dibuat di bilik bedah selepas memasukkan kamera ke dalam abdomen melalui tebukan (luka kecil sekitar 15-20 mm) dan melihat sendiri keadaan apendiks.

Dalam masa yang sama organ lain yang berkaitan juga boleh diperiksa seperti ovari, tiub falopian, usus kecil dan usus besar. Apendiks boleh terus dibuang dengan cara laparoskopi ataupun membuat satu torehan kecil di bahagian kanan abdomen. Antibiotik hanya akan diberi sebelum torehan dibuat untuk mengelakkan jangkitan kuman. Sambungan antibiotik hanya akan diberikan selepas pembedahan jika apendiks pecah.

Kesimpulannya, diagnosis radang apendiks masih menjadi cabaran kepada para doktor. Doktor yang memeriksa pesakit perlu mempunya index kecurigaan yang tinggi. Pemeriksaan darah dan radiologi tidak selalunya membantu. Faktor usia dan keadaan badan pesakit juga sangat penting. Namun, diagnosis perlu segera dilakukan supaya keadaan pesakit tidak menjadi lebih teruk dan membawa maut. Pembedahan untuk membuang apendiks (appendicectomy) tidaklah susah dan sangat rendah komplikasinya. Adalah lebih baik pembedahan dibuat daripada dibiarkan keadaan menjadi teruk dan membawa maut.

Selain itu komplikasi radang apendiks yang lewat menerima rawatan adalah pembentukan ‘bebola apendiks’ atau appendicular mass akibat perlekatan usus kecil, sekum dan tisu lemak (omentum). Hikmah Allah ciptakan tisu lemak di dalam abdomen manusia berfungsi untuk membendung kuman daripada merebak. Walaupun keadaan ini lebih baik berbanding apendiks yang pecah dan merebak ke seluruh abdomen kerana nanah dan kuman berkumpul pada satu tempat sahaja, keadaan ini juga boleh menyebabkan pembedahan lebih besar terpaksa dilakukan iaitu pemotongan usus besar.

Jika pembendungan ini tidak berlaku, komplikasi lain adalah usus dan organ yang berdekatan boleh melekat yang kemudiannya menyebabkan pembentukan fistula (lorong) kronik antara organ,sakit abdomen yang kronik kerana adhesion (usus melekat )yang mana keadaan ini sangatlah sukar dirawat dan menyebabkan pesakit terpaksa berulang kali masuk hospital, hidup tidak selesa dan sentiasa sakit serta kekurangan nutrient dan zat makanan.

Sesungguhnya setiap yang Allah jadikan ada hikmahnya termasuklah kejadian organ-organ di dalam tubuh manusia. Maka benarlah yang dikatakan apabila manusia mengkaji kejadian alam dan ilmu sains dengan mata hati,akan mampu membawa mereka kepada sang pencipta iaitu Allah S.W.T.

Allah berfirman dalam surah Al-Imran ayat 191:” (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.

Ms (Dr) Afizah Salleh adalah Pakar Perunding Pembedahan Am di Hospital Pakar An-Nur dan Dr Rosnani Zakaria adalah Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia.

- Advertisement -