
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menyokong penuh usaha pihak kerajaan yang sedang berusaha memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijaga ketika kita sedang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Presidennya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan semalam membuktikan komitmen prihatin rakyat menjadi agenda utama pimpinan negara.
Tambahnya, tiga fokus utama yang dijanjikan iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi tersebut merupakan perkara yang tepat untuk dilakukan.
“Pakej keseluruhan PEMULIH ini yang berjumlah RM150 bilion amat perlu dalam keadaan kita ingin menangani pandemik Covid-19 dan seterusnya bergerak ke arah pemulihan ekonomi,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, ramai mengetahui bahawa pandemik itu telah menyebabkan ada kalangan rakyat yang terpaksa diberhentikan kerja, hilang punca pendapatan, tidak dapat menanggung keluarga dan sebagainya.
“Kita juga bimbang terdapat mereka yang bermasalah ini mengambil jalan pintas untuk membunuh diri, yang mana ia sepatutnya tidak dilakukan oleh warga Malaysia yang waras,” tambahnya.
Oleh sebab itu, ujar beliau saluran untuk membantu mereka yang terkesan mesti terus dilakukan bagi memastikan tahap kesejahteraan rakyat dapat dikawal dan bagi mengelakkan mereka mengalami tekanan jiwa.
Apa yang menarik, katanya pakej PEMULIH turut memberikan kelebihan kepada semua lapisan masyarakat; bukan sahaja golongan miskin tegar, B40, tetapi turut melangkui manfaatnya kepada golongan M40 dan T20.
Tambahnya, dari aspek bantuan mereka yang berniaga dan terjejas perniagaannya juga turut disediakan pakej bantuan.
Beliau berkata, sudah tentu ianya sesuatu yang dinantikan kerana terdapat golongan yang berniaga sedang berdepan dengan masalah.
“Kami percaya melalui PEMULIH ini pasti sedikit sebanyak akan meringankan beban rakyat serta akan dapat meransang pertumbuhan ekonomi yang diperlukan dalam tempoh yang dirancang,” ujarnya.
Katanya, PINTAR meminta supaya agensi terbabit memastikan pakej PEMULIH dapat sampai ke sasaran sesegera mungkin.
“Adalah menjadi tanggungjawab agensi terlibat memastikan ianya sampai ke sasaran.
“Dalam masa yang sama, rakyat perlu terus bersabar ketika kita sedang mengharungi tempoh sukar ini, kerana tiada formula magik yang boleh kita gunakan melainkan kerjasama semua untuk memutuskan rangkaian Covid-19 mesti terus dilakukan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/6/2021











