
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama pihak bank telah mengumumkan inisiatif yang ditunggu rakyat iaitu moratorium tanpa sebarang syarat dan tanpa dokumentasi yang diperlukan selama enam bulan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, selari dengan fasa Pelan Pemulihan Negara, inisiatif moratorium kepada semua peminjam individu dan bantuan bank sangat tepat untuk dilaksanakan kembali.
Menurutnya, sudah pasti juga ia amat meringankan beban pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk kelangsungan perniagaan mereka.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Katanya, tiada lagi syarat dikenakan seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS (Perusahaan Kecil Sederhana) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,” ujarnya.
Menurut Idris, sebelum ini kerjasama di antara kerajaan dan institusi perbankan yang memberikan moratorium automatik kepada semua peminjam bank menjadikan Malaysia sebagai negara pertama melaksanakan inisiatif tersebut.
Selain itu, kata beliau melalui pakej itu graduan yang mempunyai pinjaman pelajaran dengan PTPTN juga diberikan inisiatif moratorium bersasar selama tiga bulan.
“Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran ini sangat membantu graduan khususnya yang masih belum mempunyai pekerjaan atau pendapatan tetap,” ujarnya dalam satu lenyataan.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan atas keprihatinan kepada rakyat dengan mengurangkan sedikit bebanan bagi menghadapi Covid-19.
“Diharapkan kita menggunakan tawaran ini dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Tambahnya, jika tiada keperluan mendesak, elakkan daripada menambah bebanan kewangan yang lain. – HARAKAHDAILY 29/6/2021











