
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sentiasa cakna terhadap keresahan rakyat khususnya golongan miskin tegar, peniaga kecil dan golongan yang berpendapatan harian.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, situasi itu dapat dibuktikan apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang kelapan semalam.
Katanya, peruntukan sebanyak RM150 bilion disedia dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mengutamakan tiga fokus iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan. Tidak ketinggalan mendapat bantuan iaitu golongan M40, T20 dan usahawan mikro yang diberikan bantuan seperti moratorium, i-Citra dan penangguhan pinjaman pendidikan buat anak muda,” katanya pada kenyataan malam tadi.
Semalam Perdana Menteri mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi yang turut meliputi moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu termasuk golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Kata beliau tiada lagi syarat dikenakan seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi perlu dikemukakan untuk permohonan.
Kamaruzaman berkata, keseluruhan lapan pakej pakej rangsangan ekonomi tersebut diharap dapat mengurangkan bebanan yang dipikul rakyat dalam mengharungi Covid-19.
Oleh itu katanya PAS berharap semua pihak bekerjasama menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam usaha menangani pandemik dengan berkesan.
“Dengan kerjasama pemimpin negara dan rakyat, kita mampu mencapai kadar vaksinasi yang tinggi hujung tahun 2021 ini. Insya-Allah.
“PAS percaya dengan tindakan kerajaan berbelanja dan membantu rakyat akan semakin luas keberkatan yang bakal diperoleh dengan izin Allah SWT. Rakyat hidup bersatu hati, negara sejahtera dan diberkati,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2021











