
Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
“Adakalanya keputusan yang berat dan berisiko itu perlu diambil kira untuk masa depan yang kita tidak tahu bagaimana. Kerana ia di bawah takdir Allah SWT. Yang penting perlu buat persediaan, yakin dan REDHA atas ketentuannya…”
Ustaz Ridzuan Rahmat
PETANG ini kita dikejutkan dengan berita duka yang meruntun perasaan, seorang tokoh muda yang namanya sedang meningkat naik dalam jamaah Islam negara ini, Ustaz Rizuan Rahmat atau kami kawan-kawan rapatnya memanggil beliau ustaz Dwen.
Ketua Dewan Ulama Selangor dijemput Ilahi dalam usia relatif muda ( 47 tahun) akibat pandemik juga kesan komplikasi penyakit yang beliau hidapi sebelum ini.
Karektor arwah yang sentiasa ceria, sentiasa menggembirakan teman- teman yang lain akan terus diingati.
“Jom ustaz, kita buat kolej universiti untuk pelajar- pelajar tahfiz, enta bayangkan Selangor sahaja banyak mana tahfiz yang ada…kemana anak-anak tahfiz nak pergi selepas tamat hafazan?”
Almarhum menelefonku sebelum pandemik melanda alam buana ini. Aku menolak dengan baik kerana institusi yang sama akan aku bangunkan di daerah agrarian yang juga daerah tembuniku ditanam.
Cita-cita arwah Ustaz Rizuan bukan hal kecil namun memerlukan sebanjaran semangat serta energi untuk membangunkan pendidikan peringkat tinggi.
Aku tahu dia mempunyai kekuatan itu, dalam gelak ketawanya, usaha serius dilakukan untuk membangunkan pelbagai institusi pendidikan.
Umurnya diabadikan untuk dakwah dan perjuangan, menjadi murabithun kepada parti Islam, pernah menggalang jawatan Guru besar SRI Pintar Shah Alam, membangunkan Maahad Tahfiz ar-Ridzuan (MATAR) serta pondok talaqi ar-Ridzuan di Kuala Langat.
Almarhum pernah memimpin anak muda, diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda Kawasan Kuala Langat. Aktif menghimpunkan anak seni yang berhijrah dan beliau juga meminati bidang kesenian, sering dipasangkan dengan para artis dalam pelbagai program kesenian dan kebudayaan.
Ustaz Rizuan Rahmat dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Selangor dengan menggantikan Ustaz Mohamad Zain Abdul Rahman.
Dalam cerminan sisi terang watak arwah ialah suka membantu insan lain, beliau berlanglangbuana ke merata tempat, antaranya Cambodia melalui NGO Ihtimam Care.
Menganjurkan ibadah korban untuk saudara akidah yang dihimpit kesusahan di negara bekas komunis itu serta membantu umat Islam disana dalam bidang pendidikan.
Beliau berlanglangbuana ke Indonesia bersama NGO, Geng ustaz dalam pelbagai misi kemanusiaan. Dalam kuliah-kuliah beliau melancarkan derma membantu maahad yang ditubuhkan oleh kawan-kawan beliau sedangkan maahad kelolaan beliau sendiri belum siap sepenuhnya.
“Tak apalah, insya-Allah, Allah akan bantu siapkan maahad ana,” jawabnya dengan sejuta keyakinan.
Tendensi dan obsesi almarhum kepada dunia pendidikan sangat mencuat, menjadi Presiden NGO Ihtimam Care, sempat beliau menubuhkan sekolah tahfiz sepenuh masa di Cambodia.
Ustaz Dwen juga dilantik sebagai Setiausaha Majlis Muafakat Sekolah Pondok Se-Malaysia, satu badan bertujuan untuk mengkoordinasi sekolah agama rakyat yang besar sumbangannya kepada tanah leluhur ini semenjak ratusan tahun dahulu.
Kerana kecintaan itulah beliau berjualan pelbagai barang untuk menampung kos membina dan menggerakkan maahad yang beliau asaskan sendiri.
Mantan Ketua Pelajar Taman Islam kemaman ini berjodoh dengan Ustazah Diana yang kami teman-teman rapatnya menggelar isterinya Kak Long Diana, pasangan ini dikurniakan enam orang cahaya mata…
Beliau bermukim ilmu di Taman Islam kemaman selama enam tahun seterusnya melanjutkan pendidikan di bumi Syria. Kecintaan kepada ilmu mengheret jasad berisi ini ke tanah seberang bersama para asatizah lain melanjutkan pendidikan tinggi. Indonesia beliau sambangi lagi dalam beberapa misi membantu umat di Kota Palu.
Antara kenangan terindah bersama almarhum selain bergiat dalam aktiviti kepemudaan ialah bermusafir selama dua minggu ke Eropah, jaulah tarbawi di lima buah negara bersama para asatizah bagi mengisi acara pengkuliahan.
Kami melewati beberapa negara, menyulam ukhuwah semahal tempayan emas juga mengenali tampang kawan-kawan dengan lebih dekat. Jika waktu solat biasanya arwah ditugaskan menjadi imam dengan alasan nakal kawan-kawan pemusafiran, “Anta kan Ketua Ulama,” menyerigai arwah senyum tak terjawab.
Kami bergilir-gilir memberikan kuliah dan pengisian, di awal pagi musim dingin tanah Eropah yang sombong, almarhum bangun berqiamullail, bersimpuh di tikar sejadah.
Belum sempat mentari merangkak di dada langit, kami menanak nasi mengalas perut atau muncul saff awal di cafe hotel. Beragam pengalaman hidup dengan arwah melalui pemusafiran jauh itu sangat membekas sebuah kerinduan.
Memotret diri dalam rimbunan pepohon Dalsy juga usrah di jalanan akan terpahat kekal dalam ingatan. Berehatlah sahabat, moga engkau menuai kebaktianmu di dunia yang abadi.
Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 29/6/2021











