
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Bekas Adun Dabong, Abdul Ghafar Yusoff, 82 meninggal dunia kira-kira jam 12.05 awal pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Allahyarham sebelum itu tidak sedarkan diri sejak Jumaat lepas.
Anak ketiga allahyarham, Nik Mohd Azrihaimi berkata, arwah ayahnya menghadapi beberapa masalah kesihatan termasuk jantung dan buah pinggang.
Menurutnya, walaupun sebelum ini kesihatan arwah tidak menentu, namun ingatannya tetap teguh kepada perjuangan.
Kata beliau arwah seringkali menyatakan hasratnya untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan khususnya sekitar tahun 1999 hingga 2004.
“Pada tempoh itu arwah ramai kenalan kerana kebetulan dia sebagai wakil rakyat di Dabong. Banyak urusan rakyat yang perlu diselesaikan dan menguruskan hal kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Tengku Maawiyah Tengku Yusoff, lapan anak (seorang daripadanya meninggal dunia) dan 20 cucu.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guchil Bayam dekat sini.
Menurut Azrihaimi, arwah ayahnya juga turut mengingatkan kepada anak-anak supaya pertahankan parti dan kerajaan negeri di bawah PAS.
Katanya, pada masa yang sama arwah turut mengingatkan supaya sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan kawan-kawan arwah walaupun tiada seorang anak mengikuti jejak langkahnya dalam politik.
Allahyarham berkhidmat sebagai Adun Dabong pada 1999 hingga 2004 setelah memenangi Dun terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dengan mendapat 3,167 undi.
Allahyarham menewaskan penyandangnya Dato’ Rozali Isohak yang memperolehi 2,586 undi Allahyarham juga bekas guru merupakan wakil rakyat yang berjiwa rakyat. – HARAKAHDAILY 29/6/2021











