
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KUALA KRAI: Buat masa sekarang penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman menggunakan bekalan vaksin Covid-19 yang sedia ada sekarang.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, apabila vaksin CanSino tiba, penduduk Orang Asli akan mendapat keutamaan diberi vaksin terbabit.
Katanya, vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) sudah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi kegunaan penduduk di kawasan yang sukar dimasuki termasuk Orang Asli.
“Kedua-dua vaksin itu hanya memerlukan satu dos suntikan yang dijangka tiba pada hujung tahun ini.
“Ia bukan sahaja memudahkan Orang Asli, malah memudahkan urusan logistik petugas Jabatan Kesihatan yang terpaksa melalui jalan yang sukar untuk memberikan suntikan vaksin kepada komuniti berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Program Outreach Vaksinasi Perkampungan Orang Asli di Kampung Kluat, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman dan Adun Guchil Hilmi Abdullah.
Ahmad Amzad juga berkata, selain masyarakat Orang Asli, penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil juga boleh mendapatkan vaksin jenis tersebut.
“Kerajaan tidak akan meminggirkan masyarakat Orang Asli daripada mendapat suntikan, sebaliknya mereka akan mendapat keutamaan sebagaimana masyarakat lain.
“Untuk ke perkampungan Orang Asli di Kampung Kluat bukan satu perkara yang mudah.
“Ia begitu jauh di mana kami terpaksa menaiki feri dan menempuh perjalanan menggunakan pacuan empat roda selama lebih sejam dengan meredah hutan bagi memberi suntikan vaksin kepada penduduk di pedalaman,” katanya.
Menurutnya juga kerajaan memberi komitmen memastikan rakyat di negara ini mendapat perlindungan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – HARAKAHDAILY 28/6/2021











