
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan waktu operasi perniagaan bermula 6 pagi hingga 10 malam mulai Isnin, 28 Jun memberi kelegaan kepada peniaga-peniaga makanan di seluruh Negara.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ini meliputi semua premis makanan, restoren, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja, gerai makan atau kiosk jualan makanan secara bawa pulang.
Begitu juga pandu lalu atau penghantaran yang dibenarkan operasi sampai jam 10 malam, manakala kedai runcit, kedai serbaneka, kedai keperluan harian dan kedai makanan haiwan dibenarkan operasi sehingga jam 8 malam, katanya.
Sebelum ini kata beliau para peniaga cukup terkesan apabila kebenaran waktu perniagaan sekadar 8 pagi hingga 8 malam.
Katanya, sebahagian mereka mengadu tidak mendapat keuntungan disebabkan bahan jualan tidak habis terjual.
Malah sebahagian dari mereka nenanggung rugi terutamanya penjaja tepi jalan, ujarnya.
“Apatah lagi sebahagian dari mereka telah dikompaun apabila memulakan persiapan untuk penjajaan lebih awal dari pukul 8 di premis mereka,” katanya.
Menurut beliau, situasi yang dihadapi peniaga berkenaan ibarat sudah jatuh di timpa tangga, sudahlah payah untuk mendapatkan pendapatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah kena kompaun pula.
“Saya cukup simpati dengan nasib kumpulan ini. Saya mencadangkan agar kompaun yang dikenakan kepada para peniaga terutamanya peniaga tepi jalan dimansuhkan denda atau kompaun yang dikenakan kepada mereka disebabkan membuka perniagaan lebih awal dari pukul 8 pagi,” katanya.
Beliau berkata pertimbangan cadangan pemansuhan denda dan kompaun itu adalah berdasarkan keputusan kerajaan yang dibuat pada jangka waktu yang sama dalam tempoh PKP 3.0. – HARAKAHDAILY 27/6/2021











