Operasi kilang punca Covid-19 meningkat

Shahir Adnan
- Advertisement -

Oleh NURUL RAHMAH NISIHUDIN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kluster tempat kerja membabitkan sektor perkilangan dan pembuatan dikenal pasti penyumbang tertinggi peningkatan kes Covid-19 apabila merekodkan jumlah aktif 868 kluster setakat ini.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, beberapa hari lalu jumlah kes seharian masih dalam bilangan tinggi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sudah hampir genap selama empat minggu.

Jelasnya, walaupun PKP sudah hampir sebulan, akan tetapi jumlah peningkatan kes masih berlegar dalam sekitar 5,000 hingga 6,000 kes seharian.

Malah, impak PKP 3.0 kali ini begitu ketara berbanding PKP 1.0 dengan kadar jumlah yang jauh bezanya, ujarnya.

“Statistik yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan, kluster tempat kerja adalah yang membimbangkan apabila merekodkan jumlah tertinggi selain kluster perayaan dan rentas negeri ketika berdepan kes jangkitan.

“Bermula 1 April 2021 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes.

“Daripada jumlah itu, 233 kluster tempat kerja ini adalah masih aktif, melibatkan sejumlah 16,785 kes aktif sehingga negeri yang melaporkan jumlah kluster tempat kerja yang tertinggi dalam tempoh ini merupakan negeri Selangor,” terangnya.

Justeru itu, beliau mewakili DPIM berpandangan situasi sedemikian agak sukar untuk mencapai pengurangan kes harian sekiranya sektor perkilangan masih beroperasi.

Tambahnya, penutupan operasi secara sukarela bukan sahaja mampu menurunkan kes tetapi secara tidak langsung mampu menyekat penularan wabak dalam kalangan komuniti.

“Malah, ada beberapa perkara dapat dilihat, kilang yang tidak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial ditempat kerja, serta menetapkan had bilangan pekerja dalam satu masa,” ujarnya.

Katanya lagi, antara langkah terbaik untuk membendung masalah itu adalah dengan menghentikan sementara operasi kilang ketika PKP dikuat kuasakan.

Ini kerana beliau berpendapat bahawa tindakan itu secara tidak langsung memberikan harapan kepada pemulihan ekonomi negara dengan tempoh lebih awal.

Kemungkinan berlaku peralihan fasa dengan lebih cepat atau sekurang-kurangnya mencapai tempoh maksimum setiap fasa yang sudah ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan kepada mereka yang terjejas disebabkan PKP 3.0 yang dilihat mampu mengurangkan jumlah kes bunuh diri akibat tekanan ekonomi, jelasnya.

Beliau dalam masa sama berharap agar kerajaan juga memperketatkan urusan kelulusan pembukaan industri perkilangan. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -