Kit keprihatinan disampaikan buat warga terjejas

- Advertisement -

BENTONG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Bentong telah melaksanakan serahan sumbangan Tabung Bencana COVID-19 PAS Negeri Pahang di sekitar Parlimen ini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Kit bantuan makanan ini diserahkan dengan kerjasama daripada NGO Kami Prihatin kepada para penduduk yang dikenal pasti terjejas akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Misi diketuai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah dan Ustaz Roslan Mad Esa serta Pengerusi LKK PAS Bentong, Muhammadin Mustaffa bersama beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Bentong dan NGO Kami Prihatin.

Muhammadin berkata, program melibatkan kapasiti sumbangan agak besar ini dilaksana dan diserah secara berperingkat kepada penduduk bermula pasca PKP Diperketatkan (PKPD) bandar Bentong tamat 15 Jun lalu.

“Alhamdulillah, PAS Bentong telah menyerahkan sumbangan 100 kit bantuan makanan fasa pertama kepada para penerima di beberapa DUN sekitar bandar Bentong iaitu Ketari serta Bilut usai tamat tempoh PKPD.

“Kami merancang untuk meluaskan pemberian sumbangan hingga ke Sabai dan Pelangai untuk fasa seterusnya. Terima kasih PAS Pusat dan PAS Negeri Pahang serta pihak kerajaan atas sumbangan kit bantuan makanan dan sumbangan kewangan daripada orang ramai.

“Sesungguhnya sumbangan ini amat bermakna dan membantu melancarkan lagi program berkebajikan PAS Bentong,” ujar Pengarah Program Tabung Bencana Covid-19 PAS Bentong itu.

Bagi Khairuddin pula selaku orang nombor satu PAS Kawasan, bantuan dihulur ini merupakan satu tanggungjawab sosial PAS dan diharap dapat meringankan beban ditanggung penduduk terkesan pandemik COVID-19.

“PAS sejak dulu hingga kini adalah sebuah parti yang konsisten; tidak pernah berubah, prihatin dengan nasib dan kesusahan rakyat serta membantu tanpa mengira warna kulit. 

“PAS menyedari bahawa kesempitan hidup yang dialami rakyat kesan pandemik ini perlu ditanggung bersama-sama antara pihak pemerintah dan parti-parti politik.

“PAS sebahagiaan kerajaan dan apabila menjadi sebahagian kerajaan, maka kedudukan yang ada ini perlu diguna sebaik mungkin demi kepentingan rakyat,” ulas Khairuddin

Sebelum program bermula, pasukan penyampai sumbangan telah diberi taklimat ringkas oleh pegawai Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Mohd Adzhariee Salleh dan turut hadir, Penghulu Mukim Bentong, Mohd Khairun Abdullah. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -